Inilah Sejarah Israel Yang Perlu Kita Tahu


Dr. Hafidzi Mohd Noor | 04-07-2019

Zionisme adalah satu gerakan untuk kembali ke Eretz Israel -( Israel raya yang meliputi kawasan yang menganjur dari Syria di utara, Iraq di timur, Sinai dan lembah Nil di sebelah barat dan Jazeerah Arab hingga Hejaz di Selatan) dan mendirikan sebuah negara milik ekslusif bangsa Yahudi dengan Baitulmaqdis sebagai pusatnya dengan mengnyahkan 'orang asing (bukan Yahudi) yang berada di sana sejak zaman pendudukan Rom (kemusnahan ke-2 Baitulmaqdis pada zaman Nabi Isa a.s diutus.)

Gerakan Zionisme semakin menyerlah pada tahun 1880'an di mana tokoh-tokoh pemikiran zionis berkempen untuk berhijrah ke Palestin sebagai reaksi balas kepada diskrimasi ke atas etnik Yahudi terutama di Eropah tengah dan timur. Theodore Hetzl yang mempelopori gerakan Zionis Antarabangsa pada tahun 1887 agak terbuka dengan pilihan tempat untuk dijadikan negara Yahudi (Jewish National Home) tersebut. Tempat-tempat tersebut antaranya ialah Uganda, Tanzania, Argentina dan lain-lain. Apabila Theodore Hetzl meninggal pada tahun 1904, ide untuk kembali ke Baitulmaqdis semakin padu disepakati oleh tokoh-tokoh zionis.

Doktrin kembali ke Baitulmaqdis ini ada dalam agama Yahudi. Namun ia hanyalah satu 'prophecy' kepercayaan agama Yahudi apabila kembalinya juru penyelamat 'the Messiah'. Justeru ada orang Yahudi yang menolak Zionisme dan Israel kerana telah menunggang kepercayaan agama untuk agenda politik.

Kepercayaan ini juga merupakan doktrin agama Kristian Protestan (kelompok ini kini dikenali dgn Kristian-zionis) yang turut berpegang dengan kepercayaan bahawa Armageddon (perang akhir) hanya akan berlaku apabila orang Yahudi sudah kembali ke Baitul makdis (Jerusalem). Inilah sebabnya George Llyod Perdana Menteri Britain kabinet perang dunia pertama menyokong kuat ideologi zionisme ini dan merujuk kepada penduduk Palestin sebagai orang orang Arab dan kelompok Muhammadan dengan sentimen kebencian.

Ide penhijrahan ke zon ini mula dilaksanakan dan penghijrah pertama (disebut sebagai aliyah) sampai pada tahun 1881. Mereka melihat orang orang tempatan (penduduk Palestin) sama seperti batu-batu di lapangan. Penduduk asal dan batu-batu itu sama sekali tidak akan menjadi penghalang kepada proses penubuhah negara Yahudi yang mereka impikan.

Apa reaksi awal penduduk Palestin terhadap agenda zionis?

Penghijrahan Yahudi zionis dari Eropah (aliyah) disedari tokoh-tokoh. Kebimbangan ini sudah mula dirasakan di antara tahun 1905-10. Pendatang yahudi membeli tanah dan mula dilihat sebagai sebahagian daripada agenda penjajahan Barat. Pada 1911, Syed Husaini, wakil penduduk Palestin dalam parlimen Uthmaniah mengemukakan agenda zionis untuk membina negara Yahudi di Syria, Palestin dan Iraq.

Penjajah barat yang diterajui British dan Perancis di Timur Tengah memang telah menyediakan pelan pembahagian yang dimeterai melalui Sykes-Picot 1916. Mark Sykes yang merupakan diplomat dan penasihat British di Timur Tengah adalah seorang zionis. Dalam pada itu, kerajaan British telah bersetuju bersama Amir Hussin di Mekah untuk menyerahkan wilayah Uthmaniah di daerah Syams kepada Hejaz jika mereka mengalahkan Uthmaniah dalam perang dunia 1.

Persetujuan yang disebut sebagai Hussein-McMahon correspondence (1914-15) adalah bertentangan dengan resolusi Sykes-Picot 1916. British telah memperdaya Hejaz semata mata untuk menjadi sekutunya melawan Uthmaniah.

Akhirnya kempen tentera British di sektor Sinai-Palestin dengan dibantu tentera Arab yang dipimpin T.E.Lawrencr berjaya mengalahkan tentera Khilafah di Megido, Beersheba dan Damsyik. British telah berjaya merampas Palestin daripada Khilafah Uthmaniyah pada 1917.

Dalam pada itu parlimen British telah meluluskan deklarasi Balfour (satu deklarasi yang di deraf Author Balfour (Foreign Secretary) yang memberi keizinan kepada orang Yahudi membina sebuah negara Yahudi di Palestin. Kononnya sebagai terhutang budi dengan Chaim Weizmann seorang ahli kimia zionis yang membantu tentera british mencipta cordite sebagai bahan letupan dalam perang dunia I.

Deklarasi Balfour telah memberi lesen pukal kepada pendatang Yahudi untuk berhijrah dengan lebih berani. Sebelum itu pendatang Yahudi tidak begitu vokal kerana Khilafah Uthmaniah masih menguasai bumi Palestin. Dengan kalahnya Turki Uthmaniyah 
dan Palestin dikuasai British maka ruang untuk pendatang Yahudi merealisasikan agenda zionisme terbuka luas.

British sebagai kuasa kolonial yang licik tidak menanggap Palestin sebagai tanah jajahan (colony) tetapi memberikan status mandat (mandated Palestine). Mandat ini kononnya diperturunkan Liga Bangsa-Bangsa yang terbentuk selepas perang dunia pertama. Ini memberi wewenangan kepada British untuk melaksanakan Deklarasi Balfour dan mendirikan negara Yahudi (Jewish National Home) ke atas negara Palestin. Di masa yang sama kononnya berusaha untuk tidak memprejudis hak penduduk Palestin - satu perkara mustahil yang hanya boleh terlaksana dengan penipuan.

Dengan licik British membentuk Mandated Palestin yang meliputi wilayah Palestin dan Jordan (pada ketika itu disebut Trans-Jordan). Sebagai penyelesaian (penipuan) negara Palestin diserah kepada pendatang Yahudi dan Trans-Jordan pada penduduk Arab (keputusan ini dicapai pada tahun 1924).

British telah mengusulkan kepada penduduk Arab di Palestin supaya berkongsi negara dengan penduduk Yahudi pendatang dalam sistem demokrasi. Sedangkan pendatang zionis hanya memiliki 6% tanah dan tidak sampai 10% penduduk keseluruhan Palestin.

Pelbagai tekanan yang dikenakan ke atas penduduk Palestin akhirnya mereka bersetuju dengan penyelesaian tidak seimbang iaitu berkongsi wilayah dengan hak demokrasi yang sama dengan minoriti kecil pendatang Yahudi. Zionis yang sudah menguasai Kerajaan British waktu itu mengambil kesempatan dan menolak persetujuan penduduk Arab untuk melakukan pengorbanan berkongsi wilayah meskipun mereka terdiri dari 90% penduduk.

Sebaliknya zionis berhasrat untuk menguasai wilayah Palestin secara eksklusif dengan mengnyahkan penduduk Palestin yang asal. Inilah yang mencetuskan perlawanan bersenjata rakyat Palestin bermula pada akhir tahun 20'an. Antaranya ialah pemberontakan tembok buraq pada tahun 1928 untuk mengekalkan hak umat Islam ke atas tembok barat Masjid al Aqsa.

 

*Penulis merupakan Pengerus Palestine Centre of Excellence dan pengarang buku Fajar Islam di Nusantara, terbitan Karya Bestari.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });