PAKAI DUIT RAYA ANAK, APA KATA ULAMA?


Acap kali tiba raya, semestinya golongan ibu bapa lah yang berbelanja besar bagi meraikannya. Dengan persalinan baju raya sekeluarga, persiapan kuih raya dan kos balik ke kampung semuanya diambil kira. Tapi seminggu selepas raya pasti ada yang sudah mula mengorek tabung buat menyambung nyawa. Dapat survival sampai gaji bulan seterusnya pun jadilah. Kena pula masa inilah kereta buat hal lah, bil elektrik naik lah.Turut menjadi mangsa duit raya anak-anak buat isi minyak... Tapi boleh ke?

Mengikut pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, jumhur ulama fuqaha dalam mazhab Syafi’i, Hanafi dan Maliki memutuskan bahawa tidak boleh menggunakan harta anak kecuali dalam keadaan memerlukan sahaja. Mereka berhujah dengan hadis Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sesuka hati yang maksudnya:

“Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini.” -Riwayat at-Tirmizi (2159).

Namun para fuqaha dalam mazhab Hambali pula membolehkan menggunakan harta si anak, tidak kira sama ada anak itu masih kecil atau besar, namun dengan dua syarat.
    
Pertama: Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya
    
Kedua: Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.

Dalilnya daripda hadis Nabi SAW. Daripada Jabir bin Abdullah RA, “Sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu.” -Riwayat Ibn Majah (2291)

Bagaimanapun ulama seperti Ibn al-Qayyim yang mentafsirkan hadis ini memutuskan bahawa harus menggunakan harta si anak. Ini kerana dalam ilmu faraid contohnya; apabila si anak mati, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga yang lain bukan milikan mutlak si ayah semata.

Ustaz Azhar Idrus dalam ceramahnya juga mengatakan bahawa, boleh menggunakan duit raya anak dalam keadaan terdesak. Contoh untuk membayar bil elektrik jika hampir dipotong kerana ia mendatangkan mudarat pada si anak. Akan tetapi perlu dipulangkan semula.

Kesimpulannya, ibu bapa tidak seharusnya menggunakan duit anak-anak sesuka hati kecuali dalam keadaan keperluan yang mendesak. Sekiranya ada yang terbeli benda yang tidak sepatutnya seperti upgrade smartphone baru atau membeli sport rim kereta, maka wajiblah ia diganti semula.

Sebagai pemegang amanah duit raya terutama bagi mereka yang belum mumaiyiz, tindakan  terbaik ialah menyimpan duit anak-anak di instrumen pelaburan yang disahkan oleh pihak kerajaan. Misalnya melabur di ASB, menyimpan di Tabung Haji ataupun membuka akaun SSPNi (Simpanan Pendidikan Nasional) untuk pelajaran anak di universiti suatu hari nanti, adalah satu langkah yang bijaksana. Bila sudah banyak boleh elakkan berhutang PTPTN. Andai kata tak jadi masuk IPT, duit itu boleh dia buat belanja kahwin suatu hari nanti.


Rujukan : [1] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3231-al-kafi-1171-hukum-ibu-bapa-menggunakan-harta-anak-anak

  

duit rayahukum guna duit raya anak
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });