ADAB KETIKA BERZIARAH DI HARI RAYA


Hari raya adalah satu hari yang boleh mendekatkan ukhwah antara keluarga, jiran, dan kenalan kita. Satu perkara yang bagus dalam sambutan hari raya ini, apabila amalan ziarah itu seakan-akan dijadikan sebagai adat. Pada masa inilah, sanak-saudara punya ruang untuk saling berkenalan dan merapatkan ukhwah.

Justeru amalan ini menjadi satu perkara yang terpuji kerana bertepatan dengan hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud;

“Barangsiapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim.”Riwayat Bukhari dan Muslim

 

Begitulah bagaimana Islam sangat menganjurkan umatnya agar memanjangkan silaturrahim antara satu sama lain.

Pun begitu, dalam setiap perkara yang kita lakukan ada adab dan tatacaranya. Islam sangat menjaga tertib dan keperibadian seorang muslim. Begitu juga dalam amalan ziarah-menziarahi di hari raya ini. Ada yang boleh kita lakukan dan ada yang kita tidak dapat lakukan.

Di sini disenaraikan enam perkara yang tidak patut dan tidak wajar kita lakukan apabila mengunjungi rumah sanak-saudara, lebih-lebih lagi di hari raya.

 

1- Memilih Waktu Yang Bersesuaian

Islam adalah agama yang syumul dalam semua perkara. Daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara akan dilihat dan dinilai. Hal yang berkaitan dengan diri sendiri mahupun orang lain. Semuanya diambil kira walau sekecil-kecil waktu ziarah rumah orang.

Pada hari raya, kebanyakan rumah menerima ramai kunjungan tetamu. Rumah yang sepi pada waktu lain meriah dengan kehadiran tetamu di hari raya.

Ramai juga suka berziarah rumah rakan, guru, sanak-saudara, jiran tetangga dan sebagainya. Walaupun Islam mengajar tuan rumah agar memuliakan dan menghargai tetamu yang datang, namun orang yang menziarahi itu perlu tahu juga batas dan adab mereka sebagai tetamu.

Kita tidak digalakkan menziarahi rumah orang pada waktu yang tidak sesuai. Contohnya, di awal pagi, lewat malam dan waktu-waktu yang kita sendiri merasakan tidak betah melayan tetamu.

Tuan rumah baru sahaja bangun pagi, belum sempat kemaskan bilik tidur, belum sempat mandi dan menyegarkan diri lagi kita sudah sampai. Itu adalah satu perkara yang kurang wajar.

 

2- Tidak Meninjau Segenap Rumah Tanpa Izin

Apabila berada di rumah orang, jangan pula suka meninjau dan check rumah orang seperti rumah sendiri. Walaupun orang yang kita rapat sekalipun, janganlah sesuka hati masuk ke dapur mereka, pergi ke tandas atau ke mana-mana kawasan rumah tanpa izin tuan rumah.

Kita harus memahami, mungkin ada sudut-sudut rumah yang agak mengaibkan dan menimbulkan rasa tidak selesa dalam diri mereka. Apatah lagi musim perayaan, dapur biasanya tidak kemas dan berselerak.

Justeru kita sebagai tetamu harus memahami perasaan tuan rumah yang mungkin malu dengan keadaan tersebut dan mungkin perbuatan meninjau rumah itu akan menimbulkan aib bagi mereka. Sedangkan Allah telah berfirman, Daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.”Hadis Riwayat Tirmizi

 

Melainkan tuan rumah sendiri yang menyuruh masuk ataupun kita telah mendapat keizinan.

 

3- Menahan Diri Daripada Mengumpat

Kita juga tidak boleh bercerita dan menyebarkan keburukan serta aib orang kepada tuan rumah. Hal ini sebenarnya bukanlah perkara yang hanya tidak boleh dilakukan semasa menziarahi orang lain di hari raya. Bahkan pada setiap masa juga perbuatan mengumpat ini tidak boleh dilakukan.

Namun, menjadi sebagai satu panduan kerana hari raya biasanya banyak topik yang menjadi perbualan. Sehinggakan kadang-kadang kita tidak perasan telah berbual atau bercerita tentang keburukan orang lain. Sedangkan Allah menegaskan di dalam al Quran yang bermaksud,

“…dan  janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya…”Surah al Hujrat :12

 

4- Tidak Terlalu Memilih Makanan Yang Dihidangkan

Kita hendaklah menghormati dan mensyukuri setiap makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah. Janganlah terlalu demand dengan juadah yang dihidangkan.

Walaupun kita sudah muak atau kurang menggemari makanan yang dihidangkan, cubalah meraikan tuan rumah juga dengan menjamah hidangan yang disediakan walaupun sedikit.

Janganlah menolak semudah-mudahnya atau mengkritik apa yang dihidangkan melainkan makanan tersebut akan memudaratkan kita jika dimakan. Diam-diam sahaja jika kita tidak menyukai makanan tersebut.

 

5- Mengawal Anak-Anak Dengan Sebaiknya

Awasi anak-anak kita daripada bermain sesuka hati di rumah orang. Anak-anak kecil terutamanya, tidak memahami apa yang boleh dilakukan atau apa yang tidak boleh dilakukan sekiranya tidak diberi tunjuk ajar oleh ibu bapa.

Justeru itu, ibu bapa dan orang tua lah yang memainkan perana dalam pembentukan anak-anak. Sikap anak-anak tidak sama, ada yang pasif dan ada yang aktif walaupun berada di rumah orang, apabila melihat anak-anak melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya di rumah orang, kita perlu terus menegur dan bukannya membiarkan mereka.

Contohnya, jika anak-anak bermain kejar-mengejar, menyentuh barang-barang orang sesuka hati, menumpahkan air atau berkelakuan tidak sopan, mereka perlu ditegur dengan tegas.

Itu bagi memastikan mereka tidak sewenangya menjadikan rumah orang seperti rumah sendiri. Janganlah di saat anak kita mengambil mainan anak orang, kita bersikap tidak mengendahkan perbuatan tersebut.

 

6- Tidak Berlama-Lama Di Rumah Orang

Kita perlu fahami, walaupun Islam mengunjurkan tuan rumah untuk melayani tetamu dengan baik, namun kita sebagai tetamu juga perlu mengerti adab sebagai tetamu.

Ada orang bila ke rumah orang, terlalu asyik bersembang hingga terlupa bahawa tuan rumah juga perlukan masa untuk diri sendiri. Tetamu harus tahu masa untuk melawat rumah orang dan juga masa untuk pulang.

Janganlah berbual sampai tak sedar tuan rumah nak sembahyang, masak dan sebagainya. Ini tidak, punyalah syok sangat berbual daripada zohor sampai nak masuk Maghrib. Justeru, bersederhanalah dalam meluangkan waktu di rumah orang.

Dalam berhari raya, banyak adab dan akhlak yang kita harus saling mengingati. Beraya bukan hanya tentang keseronokan. Walau di mana saja dan dalam apa jua perkara, akhlak Islamiah harus dijadikan sebagai panduan. Selamat hari raya!

 

 

Kredit Artikel: https://tzkrh.com

Penulis: Fatin Amira

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });