TERIMA KASIH WAHAI PENGUTIP TIN!


Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”Surah Al-Baqarah: 155

Mereka Berusaha Kita Sudah Mengalah?

Sedang menghirup udara segar ciptaan Allah S.W.T, mata ini terpandang satu kelibat manusia. Seseorang yang sedang mencari sesuatu mungkin sisa-sisa berguna di dalam tong sampah yang busuk baunya. Mungkin ada rezeki buatnya pada hari ini.

Pakaiannya lusuh. Tidak baru dan kelihatan sudah lama dipakainya. Mungkin bertahun-tahun. Lalat yang menghurung sampah berpindah menghurung tubuh badannya pula.

Beberapa tin dikutip dan dimasukkan ke dalam plastik yang dibawa. Tangannya tidak jijik menyentuh sampah yang bercampur aduk. Ada busuk. Ada yang sudah berulat. Dan ada juga najis yang aromanya menyengat.

Mata ini sedikit berair. Ada kesedihan yang terakam di jiwa. Mencari rezeki tidak kira tempat dan suasana. Di tong sampah yang dipandang hina oleh kita rupanya menjadi lubuk rezeki baginya.

Sesekali dia mengelap peluh yang merecik di dahi hitamnya. Langkahnya diteruskan untuk mencari lagi secebis rezeki di tong sampah yang lain.

Dari situ kita belajar sesuatu. Jika inginkan sesuatu kita perlu berusaha. Jangan menunggu dan membuat seribu alasan. Mulakan langkah walaupun setapak demi setapak. Yang pasti ada perubahan walaupun tidak drastik.

Jangan mengalah pada langkah yang pertama bila terjatuh dan tersungkur. Kuatkan tangan untuk menolak tanah dan bangkit. Kaki diangkat walau terasa sakit.

Ya, ini baru permulaan. Masih banyak lagi rintangan di hadapan! Jangan mengalah di awal langkah. Ayuh!

Bila kita sedar yang gagal itu bukan satu penghalang utama, kita pasti tidak akan kecewa jika gagal untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya. Kerana kejayaan sedang menunggu kita bila kita bersabar. Cuma masanya cepat atau lambat sahaja.

Lihatlah anak kecil yang sedang belajar berjalan. Mulanya dia takut kerana dirinya masih lemah. Tetapi atas sokongan dan dorongan ibu bapa serta semangat yang dirasai, anak kecil itu cuba berjalan. Sekali jatuh. Bangun semula. Jatuh lagi. Bangkit untuk kali kedua.

Bila sudah terbiasa, dia sudah tidak merasa apa-apa. Jatuh baginya bukan satu pengakhiran tetapi ia sebagai satu kekuatan untuk teruskan berjalan.

Lama-lama dia sudah boleh berjalan dan tidak terjatuh lagi. Senyuman terpancar. Ya, kejayaan sudah dirasa.

 

Biarkan Mulut Mereka

Berbalik kepada si pengutip tin di tong sampah. Apa yang terselit pada minda kita ketika melihat mereka? Lain orang lain cara fikirnya.

“Jijiklah! Badannya busuk! Eh, berapa tahun tak mandi! Boleh muntah tau!”

“Tak lalu nak makan. Kenapa dia datang sini.”

“Lihat orang itu mencari duit. Syukur Allah murahkan rezeki aku. Semoga mereka dipermudahkan segala urusan. Ada duit ni boleh sedekah.”

3 dialog yang ada bezanya. Pertama, memandang hina dan terus mengutuk dan berkata tidak baik. Tidak membantu malah terus mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati.
Orang sebegini mesti ada dalam kehidupan kita.

Bila kita hendak lakukan sesuatu, ada kata-kata kurang enak didengar. Sepatutnya kita jangan endahkan kata mereka. Kita sebaiknya teruskan bergerak ke hadapan.

Dalam hati terus berdoa kepada Tuhan agar diberi kekuatan iman dan diberi hidayah kepada mereka yang menghina dan berkata tidak baik kepada kita.

Jangan keruhkan keadaan dengan berbalas balik kata-kata mereka. Nanti mereka akan penat juga kerana kita tidak melayan kata-kata mereka.

Kedua, ada yang bersikap dingin dengan kita. Kehadiran kita dirasa tidak selesa di sisi mereka. Ada yang memandang rendah dan menyindir perbuatan kita. Wajah yang tidak berperasaan.

Bersabarlah. Lakukan apa yang sudah kita lakukan sekarang. Jangan terasa dengan sikap mereka yang tidak memberi sokongan malah tidak menghiraukan kita.

Kuatkan hati dengan firman Allah dan sabdaan nabi. Bacalah kisah-kisah mereka yang berjaya. Ada perit tetapi percayalah suatu hari nanti ada sinar menanti kita.

Ketiga, jangan dilupa masih ada orang yang menyokong usaha kita. Walau usaha kita nampak kecil, ada sebilangan manusia masih memberi kata positif malah berdoa dan membantu sedayanya.

Hargailah mereka yang bersikap begini. Jadikan kata-kata dan bantuan mereka sebagai semangat untuk kita teruskan berjuang.

Kesimpulan, dalam hidup tidak semua orang menyukai gaya rentak kita. Dan tidak semua orang membenci kita. Yang penting apa yang kita buat betul dan berlandaskan syariat.

Biarkan kata negatif mereka. Jangan kusutkan kepala dan menghabiskan masa memikirkan kata mereka tetapi jadikan kata mereka sebagai pembangkit semangat untuk membuktikan kejayaan usaha kita.

 

Terima kasih Wahai Pengutip Tin

Terima kasih kerana memberi pengajaran untuk kami. Kesusahan dan kepayahanmu mencari sesuap nasi ada iktibar untuk diri.

Apa yang dimiliki sekarang sudah cukup, tetapi diri tidak bersyukur dan lupa berterima kasih pada Tuhan. Terasa dirilah yang paling berat ujianNya tetapi ada orang lain lagi berat ujian daripada kami.

Ada sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tetapi mereka tetap bersabar dan tidak mengeluh.

Berlainan pula dengan diri ini, siang malam penuh makanan dalam peti sejuk tetapi masih merungut dan membazir tanpa rasa bersalah.

Terima kasih si pengutip tin kerana anda sudah menyedarkanku. Terima kasih!

 

Sumber asal artikel: Tazkirah.com

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });