SISA UNTUK TUHAN


Kita ni kalau boleh semua benda nak cepat. Tak mahu tunggu lama-lama. Dan pastinya tak semua suka menunggu sebab kata orang orang menunggu ini satu penyeksaan.

Tak kiralah apapun, yang penting kena cepat. Misalnya kalau minta kerja mesti nak cepat dapat. Kalau nak cari jodoh tu pun mesti nak cepat jumpa dan kahwin terus. Manakala momen paling best ialah apabila setiap yang kita doa tu Allah makbul dengan cepat dan tepat pula pada waktunya berbanding orang lain yang bertahun-tahun minta tetap masih belum dapat.

Seronokkan bila kita terima semua tu? Laju aja kita cakap, “Rezeki aku.”

Tapi kan pernah tak sesekali kita renung, kita ini seronok sangat kalau Allah bagi semua benda cepat tapi tak sedar yang kita ini selalu bagi sisa kepada Allah Yang Maha Pemberi.

Sisa?

Ya. Misalnya begini, saat Allah suruh kita solat awal waktu tapi kita pilih untuk solat di hujung-hujung masa. Siap pakej lagi. Kalau ada mesyuarat pula kita habiskan yang itu dulu sebab bagi kita itu lebih penting. Tender juta-juta nak masuk katanya. Rugilah kalau lepaskan peluang.

Kalau tengah syok tengok TV kita abaikan azan. Ah, biarlah. Lambat lagi habis waktu. Drama yang sedang ditayang kali ini aja episodnya. Tak best kalau tengok kat channel lain. Feelnya tak sama.

Kalau dalam perjalanan balik kerja pula kita hanya pandang aja masjid di tepi jalan. Walhal waktu solat sudah pun separuh waktu berlalu. Ah, tak apalah. Solat di rumah aja. Sempat kot.

Soalannya, inikah kualiti nilai kehambaan yang mahu diberikan kepada Allah Swt? DIA dengan kasih sayang dan tidak pernah berkira akan bagi yang kita nak. Malah yang tak dipinta pun Dia bagi juga.

Kita?

Allah cuma minta satu. Dahulukan Dia dalam semua perkara. Tapi kita jarang buat begitu. Jadi, jangan salahkan ALLAH kalau ada permintaan kita yang sejak sekian lama tidak tertunai.

Periksa semula kualiti kehambaan yang kita berikan kepada ALLAH. Kalau kurang, tambah. Kalau rendah, cuba tingkatkan. Yang penting ada usaha.

Kalau kita pun akan sedih juga kan bila kita beri semua benda kepada orang yang disayang tetapi balasannya tidak seperti yang diharapkan. Begitulah analogi ‘perasaan’ Allah kepada kita.

Justeru, berhentilah memberi sisa kepada Allah tetapi lakukan yang terbaik dengan memperbaiki diri dengan menjadikan Allah yang pertama dalam hidup. Selepas itu rasailah betapa Allah itu Maha Pemurah.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });