Begini Rupanya Keadaan Masjid Ketika Wabak Pada Zaman Khalifah Umar


Covid-19 yang kembali ‘mengganas’ menyebabkan beberapa kawasan telah mula dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Langkah ini diambil bagi mencegah penularannya dan dalam masa yang sama untuk menjaga keselamatan kita semua.

Ia juga menyebabkan beberapa aktiviti tergendala dan tidak boleh dilakukan seperti yang biasa kita laluinya.

 

Sebagai contoh, aktiviti jemaah di masjid dan surau hanya dihadkan kepada enam orang sahaja (bergantung kepada Majlis Agama Negeri). Begitu juga dengan aktiviti keagamaan seperti kuliah Dhuha dan Maghrib yang tidak boleh dilakukan dalam tempoh ini.

Perkara ini bukanlah benda baharu kerana sebelum ini kita sudah dididik dengan peraturan ini. Kepatuhan rakyat kepadanya membuktikan bahawa kita semua faham dan boleh bertoleransi dengan peraturan yang sedia ada.

 

Bahkan, pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah berlaku perkara yang hampir sama dengan keadaan kita hari ini.

Ia adalah apabila Syam dilanda wabak taun sehingga meragut banyak nyawa. Ada beberapa riwayat yang mengatakan bahawa kadar kematian yang dicatatkan mencecah sehingga 25 000 orang.

Dan ia termasuklah dengan kematian sahabat, iaitu Abu ‘Ubaidah Al-Jarrah dan Muadz bin Jabal.

 

Tindakan ‘Amru bin ‘Ash

Wabak yang melanda mereka sangat bahaya sehingga masing-masing dilanda ketakutan.

Imam At-Tabari menyebutkan bahawa ‘Amru bin ‘Ash telah menggantikan jawatan gabenor yang sebelum ini dipegang oleh Muadz bin Jabal.

‘Amru telah memikirkan beberapa strategi untuk menangani masalah wabak yang melanda itu, antaranya ialah dengan menerapkan penjarakan sosial dan menghalang orang berkunjung ke masjid serta bersesak-sesak di kawasan awam.

 

أيها الناس إن هذا الوجع إذا وقع فإنما يشتعل اشتعال النار فتجبلوا منه في الجبال

Maksud: “Wahai manusia, sesungguhnya wabak ini terjadi seperti api menyala (semakin dasyat jika bahan bakarnya berkumpul), hendaklah kalian menyebar tinggal di gunung-gunung.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 1697)

 

Mendengar arahan itu, semua orang mengasingkan diri. Ada yang tidak keluar dari rumah dan ada juga yang mengasingkan diri dengan pergi ke gunung-gunung. Semuanya dilakukan bagi mengelakkan kontak rapat.

Masjid dan tempat ibadah waktu itu sunyi dan tidak dikunjungi manusia kerana bimbang akan wabak yang melanda.

 

Walau bagaimanapun, itu tidak menghalang ibadah mereka kepada Allah kerana bentuk pengabdian diri kepadaNya masih berjalan namun mengikut situasi yang terjadi.

Sehinggalah wabak pada waktu itu benar-benar sembuh, barulah masing-masing kembali mengimarahkan masjid.

 

Kesimpulan

Tindakan ‘Amru bin ‘Ash yang cekap dan telus dalam menangani wabak pada waktu itu membuktikan bahawa toleransi merupakan salah satu perkara yang paling penting untuk membantu mencegah penyebaran penyakit.

Justeru, dalam tempoh masa yang diberikan ini, walaupun kita tidak dibenarkan berjemaah di masjid, namun ketaatan kepada Allah masih tetap boleh dilakukan sesuai dengan keadaan.

Wallahu a’alam.

 

 

kredit: https://tzkrh.com/bagaimana-keadaan-masjid-ketika-wabak-pada-zaman-khalifah-umar/

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });