Surah Kahfi dan Fitnah Dunia


Surah Kahfi dan Fitnah Dunia

==========

1. Dalam zaman yang penuh dengan tipudaya dunia ini, marilah sama-sama kita merenungi pengajaran dari Surah al-Khafi. Allah mempersembahkan kepada kita empat kisah yang mempunyai simbol kepada mesej yang ingin disampaikan.

2. Kisah Pemuda Kahfi pada permulaan surah ini adalah menggambarkan bagaimana sekumpulan pemuda yang lari berusaha menyelamatkan agama mereka.

3. Kisah kedua pula adalah mengenai pemilik kebun yang dikurniakan oleh Allah harta dunia dan bagaimana harta dunia itu akhirnya menjadikan dia kufur dan jauh dari Allah. Manusia terkadang berbangga dengan harta dan pengikutnya yang ramai. Firman Allah:

وَكَانَ لَهُۥ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَٰحِبِهِۦ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَنَا۠ أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

“Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai". (al-Kahfi: 34)

4. Perhatikan dalam ayat ini, bagaimana Allah menyebutkan bahawa harta yang banyak, pengaruh yang kuat serta pengikut yang ramai menjadikan manusia keliru dan akhirnya merasa tinggi diri, ego dan jauh dari bimbingan Allah.

5. Kemudian Allah mendatangkan kisah Nabi Musa pula, yang menceritakan tentang ujian ilmu. Dalam sebuah hadis, Nabi Musa dikatakan tidak menyangka bahawa ada orang yang mempunyai ilmu yang lebih dari dirinya. Lalu Allah wahyukan kepadanya tentang Nabi Khidir. Kisah ini dipaterikan dalam Surah al-Kahfi bagaimana ilmu yang tersemat dalam diri seseorang berupaya menjadikan mereka ego dan sombong.

6. Manakalah kisah yang terakhir adalah mengenai kisah Zulkarnain dan fitnah kuasa. Allah kurniakan kuasa kepada manusia adalah bagi memelihara agama Allah dan bukan menjadi sombong kepadanya.

7. Menariknya dipenghujung surah ini Allah menegaskan dengan satu amalan yang paling sia-sia. Manusia merasakan dia telah melakukan kebaikan, amalan atau sumbangan yang paling banyak sedangkan amalan itu pada hakikatnya sia-sia di sisi Allah. Firman Allah:

“قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالأَخْسَرِينَ أَعْمَالا * الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا”

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

8. Ia adalah pengajaran buat kita semua bahawa dalam segala kurniaan nikmat dan fitnah dunia yang Allah berikan kepada kita, janganlah dunia menyebabkan kita lari dan dari petunjuk Allah, sombong dan ego dalam kehidupan dunia yang sementara.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });