Kita Meminta atau Memberi Arahan kepada Tuhan?


Doa... Meminta Atau Memberi Arahan?

 

 

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعاً وَخُفْيَةً إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ المُعْتَدِينَ وَلاَ تُفْسِدُوا فِي الأَرْضِ بَعْدَ إِصْلاَحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفاً وَطَمَعًا إنَّ رَحْمَةَ الله قَرِيبٌ مِنَ المُحْسِنينَ
Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. [Al-A’raf 7: 55]

Dalam ayat ini Allah menyuruh kita [email protected] kepadanya dengan penuh merendah diri. Ini kerana kita adalah hamba, dan yang sedang kita meminta daripadaNya ialah pencipta kita.

Ini merupakan perkara paling penting daripada segala aspek berkaitan doa. Doa adalah permintaan seorang hamba kepada Tuhannya, dan bukan arahan kita kepada Allah.

Apabila kita menyedari bahawa ia permintaan seorang hamba kepada Penciptanya, maka ia akan melahirkan rasa rendah diri ketika meminta.

Rasa rendah diri ini akan membawa kepada kefahaman yang benar tentang janji Allah bahawa Dia akan menunaikan permintaan hamba-Nya.

Doa yang lahir tanpa rasa rendah diri akan melahirkan natijah seolah-olah doa itu arahan seorang hamba kepada Penciptanya. Inilah yang akan menyebabkan manusia menyangka bahawa apabila mereka meminta kepada Allah sesuatu, bukti doa itu mustajab ialah mereka mendapat seperti mana yang mereka minta. Minta A, dapat A, minta B, dapat B.

Hilangnya konsep perhambaan dalam doa menyebabkan manusia muncul dengan pelbagai cara kononnya mahu meningkatkan keyakinan dan sangka baik kepada Allah ketika berdoa. Antaranya ialah dengan membayangkan seolah-olah sudah mendapat apa yang mahu diminta, lalu mengucapkan syukur kerana merasakan sudah mendapat apa yang diminta (sedangkan belum pun dan baru nak berdoa), memvisualisasikan permintaan, meminta dengan sangat spesifik dan sebagainya.

Ini semua sudah terkeluar daripada tanda perhambaan kepada Allah yang mesti dibuktikan dengan sifat rendah diri ketika meminta.

Manusia yang merendah diri kepada Allah, akan meminta apa yang dihajati, dan melepaskan urusan bagaimana doa itu dijawab kepada Allah. Dia mengetahui bahawa dirinya hamba yang sedang meminta kepada Allah dan bukan memberikan arahan.

Dengan keyakinannya dan sangka baiknya kepada Allah, dia akan meyakini bahawa jawapan yang Allah berikan kepada doanya adalah yang terbaik walaupun tidak sama dengan apa yang dipinta. Ini kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam telah menerangkan bagaimana Allah menunaikan permintaan seorang hamba.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا " ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ ، قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ .
Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut: (1) Akan disegerakan doanya itu, (2) ditangguhkan ke hari Akhirat, (3) dijauhkan keburukan semisalnya daripada orang yang berdoa. Para sahabat bertanya: Oleh kerana itu, kami perlu banyak berdoa? Baginda menjawab: Allah, pemberianNya lebih banyak [Musnad Ahmad, Musnad Abu Sa’id al-Khudri, hadis no: 10921, Shaikh al-Arnaouth berkata: Isnadnya jayyid].

Jika dia merasai kerendahan dirinya ketika berdoa, perasaan mengemis seorang hamba kepada Pencipta, apabila apa yang dia minta tidak ditunaikan, dia akan bersangka baik bahawa Allah telah menunaikan doanya dengan cara yang Allah kehendaki. Dalam masa yang sama dia berusaha memperbaiki cara berdoanya agar selari dengan apa yang diajar oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam, dan bukannya mengambil cara-cara berdoa yang tiada asalnya di dalam Islam.

Ketiadaan rasa perhambaan dan merendah diri ketika berdoa, menyebabkan sebahagian manusia sangat celupar sehingga mengungkapkan 'Aku sudah banyak berdoa selama ini tetapi tak pernah mustajab' kerana dia tidak mendapat sebagaimana apa yang dia minta di dalam doanya.

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

: " يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ يَقُولُ
Akan dijawab doa salah seorang daripada kalian selagi mana dia tidak tergesa-gesa, iaitu dengan berkata:

: دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي
Aku telah berdoa, tetapi tidak dimakbulkan. [Sahih al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, hadis no: 6340]

Oleh kerana sudah hilang rasa perhambaan, sebahagian orang semakin bertindak biadab dengan mengambil cara-cara berdoa yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam yang dihantar oleh Allah untuk mengajar sekalian manusia, dan mereka mendakwa inilah cara berdoa sebenar, tanpa pernah mereka melihat kepada tindak-tanduk mereka selama ini adalah sudah melakukan semua adab doa yang diajar di dalam wahyu.

Mereka lupa kepada sekian nikmat 24 jam mereka kecapi yang mana boleh jadi sebahagian besarnya tidak pernah diminta pun tetapi tetap diperolehi.

Berdoalah dengan penuh merendah diri kerana ia permintaan kita sebagai hamba kepada Pencipta kita, dan bukannya arahan kepada Allah.

#MMMR

 

 

Kredit: https://www.facebook.com/391775204246429/posts/4029979810425932/

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });