ALLAH PUN BAGI WAHYU PADA LEBAH


Allah telah merakamkan di dalam al-Quran kisah lebah, satu-satunya haiwan yang menerima wahyu secara langsung daripada Dia. Bahkan Rasulullah SAW sendiri memberi perumpamaan bahawa orang-orang yang beriman itu seumpama lebah, iaitu bagaimana lebah mengajar kita untuk hidup sebagai orang yang beriman.

Kisah lebah ini dicatat agar manusia memikirkan tentang kehebatan haiwan kecil ini, di samping mengambil iktibar sebagai panduan menjalani kehidupan di dunia ini.

  1. Mencari rezeki yang suci, baik dan halal. Haiwan kecil ini hanya mencari bunga-bungaan yang baik dan suci sahaja. Tidak sesekali ia menghirup manisan daripada bunga yang rosak atau tidak matang. Bahkan ia tidak akan berebut bunga dengan lebah yang lain. Maka begitu juga dengan manusia. Manusia perlu mencari sumber rezeki yang baik dan halal. Tidak boleh memusnahkan sumber rezeki orang lain.
  2. Tidak memudaratkan pihak lain. Lebah tidak akan meletakkan seluruh berat badannya ke atas kelopak bunga ketika sedang menghirup nektar. Justeru, ia tidak menyebabkan bunga rosak atau patah. Manusia beriman juga begitu, tidak akan memudaratkan orang lain. Hidup kita ini ada proses memberi dan menerima sesuatu. Maka pastikan supaya proses ini berlaku dengan adil.
  3. Lebih banyak memberi daripada menerima. Lebah, meskipun menghirup manisan daripada kuntuman bunga, namun hakikatnya haiwan ini lebih banyak memberi. Ketika ia menghirup, maka proses pendebungaan pun berlaku, lalu memberi kehidupan baru kepada bunga dengan membiak lebih banyak lagi. Manfaat memberi lebah yang paling besar adalah madunya yang menjadi penawar untuk manusia. Maka manusia beriman juga perlu lebih banyak memberi berbanding menerima, bahkan menjadikan kehidupan orang lain lebih baik lagi.
  4. Perlu berusaha dan saling bekerjasama serta bantu-membantu. Lebah akan terbang jauh untuk mencari bunga-bungaan, kemudian kembali semula ke sarangnya. ‘Tarian lebah’ , ini caranya mereka berkongsi rezeki dengan menunjukkan arah kepada lebah-lebah lain tentang lokasi bunga-bungaan yang dijumpai.

Sebagai orang beriman, apa sahaja rezeki yang dikurniakan Allah kepada kita, maka kita harus berkongsi dengan orang lain. Jangan kedekut atau cemburu dengan menyembunyikannya hanya kerana tidak mahu orang lain mendapat lebih daripada kita. Padahal dengan membantu orang lain, kita akan mengurangkan sedikit pun rezeki kita.

  1. Berjalan dengan rendah hati. Allah menghuraikan bahawa lebah ini bergerak dengan penuh kerendahan hati. Meski setiap lebah mempunyai tugas, tanggungjawab dan peranan tersendiri, mereka tidak sombong. Bahkan mereka saling bekerjasama dan menjalinkan hubungan sesama mereka dan alam persekitaran dengan baik sekali.

     Begitu juga dengan manusia beriman. Walaupun dikurniakan oleh Allah dengan kelebihan tersendiri, mereka tidak meninggi diri atau sombong terhadap orang lain. Sentiasa rendah hati dan berkhidmat untuk masyarakat sekeliling.

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });