Pahala Amalan Berganda dalam Bulan Ramadan


Sesungguhnya Allah SWT memberikan pahala kepada hamba-hamba-Nya yang melakukan amal soleh mengikut kehendak-Nya tanpa terikat kepada apa-apa peraturan.

Allah SWT berfirman:

Maksudnya: Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. (Surah Hud: 123)

Imam al-Tabari dalam menafsirkan ayat menyebutkan bahawa hanya kepada Allah SWT jualah setiap amalan yang dilakukan oleh setiap mereka yang melakukan amalan. Dia-lah yang akan memberikan ganjaran ke semua manusia berdasarkan amalan-amalan mereka mengikut kehendak-Nya. (Rujuk Tafsir al-Tabari, 1:235)

Allah SWT melipatgandakan pahala berdasarkan beberapa sebab antaranya disebabkan oleh kelebihan dan kemuliaan yang diberikan-Nya kepada beberapa perkara. Kemuliaan tersebut ialah seperti:

- Kemuliaan dari sudut tempat seseorang itu melakukan amal ibadah. Ini seperti melakukan ibadah di Masjidil Haram di Mekah dan Masjid al-Nabawi di Madinah akan mendapat ganjaran yang lebih besar berbanding solat di masjid-masjid yang lain. Ia berdasarkan hadith sahih, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Solat di masjid aku ini (Masjid al-Nabawi) adalah lebih baik daripada seribu solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram. (Riwayat al-Bukhari, 1133)

- Kemuliaan dari sudut masa sesuatu amalan itu dilakukan. Ini seperti kemuliaan melakukan amal ibadah di bulan-bulan yang dimuliakan Allah SWT terutamanya di bulan Ramadhan. Contohnya ialah pahala mengerjakan umrah di bulan Ramadhan sama pahala ganjaran mengerjakan haji. Ini berdasarkan hadis sahih bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita Ansar:

Maksudnya: Sekiranya telah tiba bulan Ramadhan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahalanya seperti mengerjakan haji. Dalam riwayat Muslim: seperti mengerjakan haji bersama aku (Rasulullah SAW).

Riwayat al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256)

- Kemuliaan dari sudut orang yang melaksanakan ibadah dengan ketinggian kedudukannya di sisi Allah SWT dan ketakwaannya. Contohnya, Allah SWT melebihkan kedudukan umat Nabi Muhammad SAW berbanding umat-umat lain sebelumnya. Setiap amalan yang dilakukan oleh umat Nabi Muhammad SAW akan dilipat-gandakan oleh Allah SWT khusus kepada mereka. (Rujuk Lathaif al-Ma’arif: 209)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa kelebihan dan ganjaran yang besar yang ditawarkan oleh Allah SWT di bulan Ramadhan ialah kerana ia bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Allah SWT telah memilih bulan Ramadhan untuk beberapa peristiwa besar seperti peristiwa penurunan al-Quran (nuzul al-Quran), pembukaan kota Mekah (Fath Makkah), pembukaan kota Andalusia dan lain-lain. Disamping itu juga, Alllah SWT telah mengkhususkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan di dalamnya iaitu malam al-Qadr (Lailatul Qadr). Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

Maksudnya: Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. (Surah al-Qadr: 3)

Oleh sebab itu, Allah SWT telah menggandakan amalan yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih dalam agama dan menganugerahkan kita taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah dengan ikhlas kepada-Nya terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Kredit: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/3455-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-152-kenapakah-pahala-amalan-digandakan-pada-bulan-ramadhan

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });