SEBAB BERLAKUNYA SYIRIK DI MUKA BUMI


 

Firman Allah SWT:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ } البقرة: (213)

“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” [Al-Baqarah : 213].

Al-Hafiz Ibnu Kathir telah mengambil riwayat Ibnu Abbas RA ketika ketika mentafsirkan ayat ini. Kata Abdullah Ibnu Abbas, jarak di antara Nabi Adam dan Nabi Nuh ialah sepuluh kurun. Semua manusia pada waktu itu berpegang dengan Syariah yang hak, kemudian mereka berselisih kerana masalah yang dipegang mengikut pendapat masing-masing. Maka Allah mengutuskan para nabi sebagai mubassyirin (pemberi khabar gembira) dan munazzirin (pemberi peringatan). Rasul yang pertama diutuskan selepas Nabi Adam ialah Nabi Nuh. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir: 1/237).

 

Sebab kekufuran mereka ialah kerana terlalu memuja orang yang soleh dalam kalangan mereka (al-ghulu fi hubbi as-solihin) dan inilah permulaan berlakunya syirik di atas muka bumi ini.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَقَالُوا لا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلا سُوَاعًا وَلا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

Dan mereka berkata: “Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwa’, yaghuts, ya’uq dan nasra.” [Nuh: 23].

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA katanya:

(Lima berhala tersebut, Wadd, Suwa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr) ialah nama orang-orang yang soleh di kalangan kaum Nuh. Apabila mereka meninggal dunia, maka syaitan mengajar (memujuk) kaumnya agar mereka membuat patung-patung yang menyerupai mereka, kemudian diletakkan di majlis tempat yang mereka biasa duduk semasa hayatnya dan mereka meletakkan nama patung itu seperti nama tuan asalnya. Maka pengikut orang soleh itu melaksanakan ajaran syaitan tersebut. Apabila golongan yang membuat patung tadi telah meninggal dunia dan datang pula generasi lain yang tidak mengetahui asal-usul kejadian patung, lalu mereka pun turut menyembahnya.

Imam Ibnu Kathir juga menyebut kisah ini sedemikian. Riwayat lain ada menceritakan tujuan mereka mengukir patung itu ialah kerana para pengikutnya takut pegangan  agama mereka menjadi lemah, lalu mereka mengukir patung-patung syeikh tersebut untuk mengingati kembali ajaran dan amalannya. Apabila mereka  melihat patung syeikh mereka, akan bertambah kuat semangat untuk beribadat. Pada peringkat awalnya mereka tidak menyembahnya, tetapi setelah berlalunya masa yang lama, mereka mula membesarkan dan menghormatinya dengan sepenuh hati mereka.

Waktu yang panjang berlalu, orang-orang alim dalam kalangan mereka telah meninggal dunia, maka syaitan mengajar lagi: ”Sesungguhnya orang-orang soleh sebelum kamu tidak mengukir patung-patung syeikh mereka kecuali untuk meminta syafaat melaluinya kepada Allah.” Maka bermulalah sejarah penyembahan berhala, tuhan yang lain daripada Allah SWT.

Lalu selepas itu Allah SWT mengutus Nabi Nuh untuk mengembalikan mereka kepada agama datuk mereka Nabi Adam. Semasa berlakunya taufan pada zaman Nabi Nuh, semua patung yang disembah tersebut telah ditenggelamkan ke dalam perut bumi. Mereka yang diselamatkan Allah SWT dari taufan tersebut, meneruskan hidup di atas muka bumi dengan agama yang benar selama beberapa waktu.

 

Mengubah Ajaran Nabi Ibrahim

Manakala orang yang mula-mula mengubah perjalanan agama yang diajar oleh Mabi Ibrahim ialah Amru bin Luhai, iaitu ketua golongan suku Khuza’ah. Beliau adalah seorang tukang nujum yang bersahabat dengan jin. Melalui petunjuk daripada jin itu, beliau telah mengeluarkan berhala-berhala yang tersembunyi di dalam tanah di Jeddah. Kemudian pada musim haji, beliau menyeru bangsa Arab supaya menyembah berhala dan meninggalkan ajaran Nabi Ibrahim.

 

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

 رَأَيْتُ عَمْرَو بْنَ عَامِرِ بْنِ لُحَيٍّ الْخُزَاعِيَّ يَجُرُّ قُصْبَهُ فِي النَّارِ، وَكَانَ أَوَّلَ مَنْ سَيَّبَ السَّوَائِبَ 

“Aku melihat Amru bin Amir bin Luhai al-Khuza’i menarik isi perutnya di dalam neraka kerana dialah orang yang mula-mula merubah perjalanan agama Nabi Ismail AS dengan penyembahan berhala.”  [HR: Al-Bukhari]

 

 

Bahaya Pemujaan

Demikianlah bahayanya apabila berlaku pemujaan di dalam masyarakat sama ada memuja harta benda, pangkat dan sebagainya. Begitu juga dengan perbuatan memuja pemimpin lebih daripada yang sepatutnya. Perkara tersebut akhirnya akan membawa kemusnahan dan bala bencana kepada umat dan masyarakat sebagaimana yang berlaku ke atas kaum Nabi Nuh dahulu.

 

Allah SWT telah memberi amaran kepada ahli kitab dengan firman-Nya:

 

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ

“Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu (dengan membesarkan Nabi Isa sehingga mereka menganggapnya sebagai anak tuhan). Dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al-Masih, Isa putera Maryam itu adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh daripada-Nya.} [An-Nisa’: 171].

Kerana itu jugalah Rasulullah SAW memberi amaran kepada umatnya, sebagaimana riwayat Sayyidina Umar Al-Khattab:

{لا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُْ}

“Janganlah kamu terlalu memujaku (sehingga melampaui had sebagai seorang nabi dan rasul kepada darjat ketuhanan dengan mengetahui perkara ghaib dan sebagainya) sebagaimana kaum Nasrani memuja Nabi Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku adalah seorang hamba, maka katakanlah: ‘Allah dan Rasul-Nya.’” [HR Bukhari Bukhari dan Muslim]

 

Demikanlah amaran dan tegahan Rasulullah SAW akan perbuatan memuja dan memuji manusia lebih daripada sepatutnya dengan membuat pelbagai gelaran dan anggapan. Ini akhirnya boleh merosakkan diri orang yang dipuja-puji itu sendiri.

 

Marilah kita sama-sama merenung kembali kepada perjalanan dan landasan yang kita lalui di dalam urusan agama kita (i’tikad). Semoga semua amalan yang kita lakukan akan diterima oleh Allah SWT.

 

Akhukum:

Abu Anas Madani. PSD.

https://www.abuanasmadani.com/sebab-berlakunya-syirik-di-muka-bumi/

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });