Tersepit


Pernah tak sesiapa berada dalam situasi sahabat-sahabat baiknya ‘berperang’ antara satu sama lain dan kita terhimpit menjadi jambatan yang berusaha mendamaikan kedua-dua pihak sahabat kita itu?

Ketika keadaan sudah hampir reda, tiba-tiba ada sahaja yang mengeruhkan kembali keadaan itu?

Itulah yang saya selalu alami. Sejak lama dahulu saya selalu tanpa disengajakan menjadi perunding atau orang tengah antara pihak-pihak yang saling berperang dingin. Saya tidak suka bercakaran dan saya tidak senang apabila insan-insan yang saya sayang berbalah. Saya akan cuba mencari jalan untuk meleraikan, bukan mengusutkan keadaan, kerana saya selalu teringat pesan Allah yang bermaksud:

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau MENDAMAIKAN DI ANTARA MANUSIA dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya PAHALA YANG AMAT BESAR. 

                                                                           [Surah al-Nisa, ayat 114]

Kadangkala serangan yang dilancarkan oleh kedua-dua pihak sahabat yang bersengketa itu bukan sebarangan peluru berpandu. Kesan ledakannya mungkin besar, tidak hanya terkena seorang dua, bahkan ramai jua, belum lagi jika ditambah kesan radioakif dari orang sekeliling. Justeru bukan mudah untuk menjadi pendamai. Tanpa sabar dan hemah, mungkin keadaan akan menjadi semakin parah.

Jujur saya cakap, saya sedih melihat sahabat-sahabat saya saling bercakaran secara terbuka, kerana medan media sosial sekiranya tidak diurus dengan baik, hanya akan mengundang maki hamun, fitnah dan implikasi negatif yang tidak terpuji akibatnya.

Sebab itu saya sentiasa memilih pendekatan menasihati antara sahabat-sahabat secara tertutup dan peribadi. Sama ada nasihat itu diterima atau tidak, hidayah tawfiq adalah milik Allah semata-mata. Yang penting pendekatan sebagai sahabat perlulah sebagai seorang sahabat, bukan seperti musuh ketat. Sekiranya kita bersahabat kerana Allah, kita juga saling menasihati kerana Allah, mengikut saranan agama Allah, bukan memburukkannya di hadapan khalayak yang membuka pintu penghinaan dan caci maki dari orang ramai.

Setiap manusia ada kedudukannya masing-masing yang perlu diraikan. Jika ibu atau keluarga kita ada yang melanggar saranan agama, adakah wajar kita mudah-mudah menghentam mereka atas dasar nasihat? Adakah wajar kita memalukannya secara terbuka?

Sudah tentu tidak. Banyak perkara yang perlu kita raikan baik maslahat khusus atau umum. Banyak implikasi yang perlu difikirkan, bukan hanya memuaskan hati sendiri atau pihak tertentu. Kerana menasihati insan-insan istimewa ini ada caranya di dalam agama. Seruan yang benar tidak semestinya membenarkan cara yang tidak kena.

Saya pernah dituduh, disangka buruk dan dikata macam-macam kerana ini, termasuk dari rakan-rakan sendiri. Macam-macam yang saya terbaca dan dengar. Takpalah, saya terima dan maafkan semua, sebab saya jarang ambil pusing dengan apa yang orang mengata kepada saya. Yang penting, sebagai sahabat saya sudah melakukan yang terdaya.

Saya mungkin tidak ramai sahabat, namun saya sangat menghargai persahabatan yang saya ada. Saya tidak akan membiarkan mereka dan tidak akan mensia-siakan mereka. Saya mengasihi sahabat-sahabat saya kerana Allah, kerana merekalah teman seperjuangan saya yang bersama-sama mengharungi medan dakwah dan kehidupan ini. Segala kebaikan kita sama-sama mencari dan segala kelemahan kita sama-sama perbaiki. Itulah manisnya ukhuwwah kurniaan Ilahi.

Jika kita berselisih dalam soal ilmu, fokuslah perbincangan dalam ruang lingkup ilmu. Janganlah pula terbabas menyerang peribadi atau beremosi merendahkan antara satu sama lain atau mengungkit itu ini, kerana itu tidak akan membantu menemui titik temu atau mendapat kebenaran atau membawa sebarang kebaikan apapun, sebaliknya hanya mewujudkan permusuhan, menjarakkan lagi jurang persengketaan dan membuka pintu kerosakan yang lebih besar.

Umat hari ini sudah cukup lemah kerana tidak mampu menepis ‘talbis Iblis’ ini yang boleh mengenai semua kita, baik yang berilmu atau sesiapa sahaja. Hanya iman dan takwa sahaja yang boleh memelihara.

Percayalah sahabat, ‘perseteruan’ berterusan yang dipamerkan ini hanyalah akan memudarkan sinar dakwah kita dan mencalarkan imej sunnah atau agama yang kita bawa atau canangkan. Sedangkan junjungan kita Nabi Muhammad SAW pun pernah mengingatkan kita akan hal ini:

Sesungguhnya kerosakan hubungan itu merupakan pencukur. Aku tidak mengatakan ia mencukur rambut, bahkan ianya mencukur agama!

                                                                           [Riwayat al-Tirmidzi]

Ilmu yang kita pelajari akan sentiasa tersembunyi keindahannya sehinggalah tatkala kita berkhilaf dengan sahabat kita. Ketika itulah ia akan tersingkap, adakah ianya benar-benar rahmah ataupun pemusnah?

Senyumlah jika tidak mampu memuji.

Salamlah jika tidak mampu memeluk.

Jika tidak mampu kesemua itu, berhentilah dari menyakiti. 

 

- Dr. Kamilin Jamilin (Penulis Buku Ada Apa Dengan Kuliah Hadis) -

Kredit: https://www.facebook.com/1743258955902336/posts/3010354429192776/

sahabatkhilafberhemah
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });