Cita - cita Kita Lagi Panjang Dari Umur


Cita-cita dan impian, selalunya lebih panjang daripada usia

 

1. Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA (wafat 32 H) baginda Nabi salallahualaihiwassalam pernah melukis di atas tanah tentang ajal manusia yang sering mendahului impian dan cita-citanya.

 

Seringkali manusia mengharap akan bersedekah apabila telah kaya, akan berbakti apabila telah tua, akan menjadi baik apabila telah berjaya. Malangnya ajal kematian selalu datang sebelum sempat melakukan apa yang diimpikannya.

 

Allah Ta’ala berfirman;

 

ذَرْهُمْ يَأْكُلُوا وَيَتَمَتَّعُوا وَيُلْهِهِمُ الْأَمَلُ ۖ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ

 

"Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka).” (Al-Hijr: 3)

 

2. Angan-angan dan cita-cita duniawi kita selalunya menyebabkan kita lalai lalu menangguhkan amal dan melewat-lewatkan berusaha untuk akhirat.

 

Kononnya aku akan melakukannya esok.

 

Nanti, apabila sudah bersedia.

 

Malangnya ajal selalu datang terlebih dahulu sebelum sempat kita bersedia!

 

3. Pintu syurga itu luas.

 

Jika kaya masuklah melalui pintu sedekah dan syukur. 

 

Jika belum kaya, maka masuklah ke dalamnya melalui pintu redha, qanaah dan sabar.

 

Jika belum pandai, masuklah melalui pintu amal dan menuntut ilmu.

 

Jika masih muda, masuklah melalui pintu menahan nafsu dan syahwat.

 

Jika sudah tua, masuklah melalui pintu taubat.

 

4. Tidak perlu menunggu sehingga kita dapat memiliki apa yang belum ada baru mahu beramal dan beribadat.

 

Bimbang sudah terlewat!

 

وَلَنْ يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفْسًا إِذَا جَاءَ أَجَلُهَا ۚ

 

"Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang itu apabila telah datang waktu ajal kematiannya." (Al-Munafiqun: 11)

 

Kredit: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3408704099234821&id=100002857926668

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });