Kisah Israk dan Mikraj Palsu?


Di antara peristiwa yang sering terjadi perdebatan adalah peristiwa Israk dan Mikraj. Pada asasnya, peristiwa Israk dan Mikraj diceritakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Peristiwa ini bukan sahaja berlaku dengan roh Nabi Muhammad SAW semata-mata seperti mana yang didakwa oleh sebahagian pihak, namun ia juga berlaku pada roh dan jasad sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Isra’, ayat 1 yang bermaksud:

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Imam Al-Tabari memilih pandangan bahawa Israk dan Mikraj berlaku dengan jasad dan roh Nabi SAW. Beliau berkata, sesungguhnya Allah SWT memperjalankan hambanya iaitu Nabi Muhammad SAW daripada Masjidil Haram menuju ke Masjidil Aqsa seperti mana yang telah diberitahu oleh Allah dan apa yang zahir yang telah disebutkan oleh Nabi SAW. Allah SWT memperjalankan Nabi dengan menyediakan Buraq dan solat di mana tempat para Nabi dan Rasul terdahulu solat. Baginda SAW juga melihat beberapa tanda-tanda kebesaran. Oleh kerana itu, tidak benar jika ada yang mengatakan bahawa perjalanan Israk dan Mikraj hanya berlaku degan roh. Bahkan yang benar perjalanan tersebut berlaku dengan roh dan juga jasad. Jika perjalanan tersebut hanya berlaku dengan roh sahaja sudah pasti ianya tidak akan menjadi dalil akan kenabian dan kerasulan Nabi SAW. Bahkan tidak mungkin menjadi hujah bagi risalah yang dibawa oleh Baginda. (Rujuk Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayi Al-Quran, 4/446).


Sheikh Tohir Bin ‘Asyur menyebut bahawa perjalanan Israk dan Mikraj adalah merupakan peristiwa yang mencarik adat (satu mukjizat) yang mana perjalanannya dari awal sehinggalah akhir hanya memakan masa sebahagian malam. (Rujuk Tahrir Al-Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aql Al-Jadid Fi Tafsir Al-Quran Al-Majid, 14/10).


Sheikh Amin Al-Syanqiti menyebut bahawa Allah menjadikan apa yang diperlihatkan kepada Nabi SAW daripada perkara dan peristiwa yang pelik dan ajaib pada malam Israk dan Mikraj adalah sebagai satu ujian kepada orang ramai. Ini kerana ada di antara yang tidak langsung mempercayai apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW. Ada yang mengatakan bahawa ianya tidak mungkin berlaku. Mereka mengatakan juga bagaimana mungkin Baginda solat di Baitul Maqdis dan pergi ke tujuh tingkatan langit serta melihat keseluruhannya pada satu malam sahaja kemudian pada waktu pagi berada di Mekah. Inilah satu ujian kepada mereka yang ragu-ragu. Tambahan pula, kisah peristiwa Israk dan Mikraj adalah kisah yang mutawatir yang tidak boleh disangkal lagi. Sheikh Amin Al-Syanqiti menyebut peristiwa berkenaan Israk dan Mikraj adalah kisah yang mutawatir. (Rujuk Adwa’ A-Bayan Fi Idhah Al-Quran Bi Al-Quran, 3/101 dan 3/236).

Ini bermakna sesiapa yang menyangkal peristiwa  ini dia termasuk di dalam orang yang kufur. Bahkan Allah SWT menyangkal orang yang menafikan peristiwa ini.

Justeru itu, peristiwa Israk dan Mikraj bukannya cerita dongeng semata-mata, jauh sekali jika mengatakan ia peristiwa yang palsu dan direka-reka. Ianya disebutkan dan diisyaratkan di dalam al-Quran. Tinggal lagi bagi kita adalah mengetahui kisah-kisah yang sahih tentang apa yang berlaku di sepanjang peristiwa Israk dan Mikraj.

Kesimpulannya, dakwaan mengatakan bahawa kisah Israk dan Mikraj palsu adalah disebabkan kisah tersebut menonjolkan kelemahan Nabi SAW adalah satu dakwaan yang mengarut dan tersasar dari hakikat sebenar. Ia adalah kisah yang mutawatir yang tidak boleh diingkari. Kisah Israk dan Mikraj khususnya berkenaan pengurangan daripada 50 kali solat kepada 5 kali solat setiap hari menzahirkan kehendak Allah SWT agar agama ini khususnya solat yang menjadi tiang agama mudah untuk diamalkan bukannya menyusahkan sehingga dicuaikan.

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada syubhat dan keraguan terhadap perkara yang telah thabit di dalam agama. Wallahu’alam.

Kredit: Laman web rasmi pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (https://muftiwp.gov.my/artikel/tashih-al-mafahim/4301-tashih-al-mafahim-17-kisah-israk-dan-mi-raj-palsu-kerana-menzahirkan-kelemahan-nabi-saw)

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });