Walau ada yang murtad, Islam tetap terpelihara


Islam tidak memerlukan kita tetapi agama Islam tidak sekali-kali akan mengabaikan kita

 

1. Sesiapa yang mengugut hendak murtad daripada agama Islam sebenarnya jika dia murtad sekalipun, maka dia tidak akan dapat merugikan sesiapa atau apa-apa pun dalam agama ini.

 

Allah berfirman;

وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

"Barang siapa yang berbalik ke belakang (murtad), maka dia tidak akan dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali-Imran: 144)

 

 

2. Dalam sejarah Islam terdapat ramai orang yang pernah murtad bahkan semenjak zaman Rasulullah salallahualaihiwassalam lagi.

 

Dikeluarkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim dalam sahih mereka daripada Anas bin Malik RA (wafat 93 H) bahawa ada seorang lelaki Nasrani daripada Bani Najjar yang memeluk Islam dan menghafal beberapa surah Al-Qur’an (Al-Baqarah dan Ali-Imran). Dia kemudiannya dilantik menjadi pembantu Rasulullah dan juga sebagai penulis wahyu. Namun kemudiannya dia melarikan diri dan murtad daripada Islam.

 

Begitu juga dengan riwayat Ibn Abbas di dalam Sunan Abi Daud tentang kisah Abdullah bin Abi Sarh yang merupakan seorang penulis wahyu tetapi kemudian menjadi murtad daripada Islam. Walaubagaimana pun, beliau kemudian telah bertaubat dan kembali memeluk Islam serta menebus kesalahannya dengan berbakti kepada Islam.

 

Selain dua watak di atas terdapat beberapa lagi individu terkenal yang diriwayatkan pernah murtad daripada Islam seperti Ubaidillah bin Jahsy, As-Sukran bin Amru, Tulaihah, Ibnu Nawahah, Musailamah, Sajaah binti Al-Harits dan lain-lain.

 

 

3. Walaupun ada ramai individu yang terkenal dalam sejarah yang murtad daripada Islam namun mereka sama sekali tidak berupaya memudharatkan agama Allah yang telah dijamin sempurna dan akan dipelihara sehingga hari kiamat.

 

Allah berfirman;

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

"Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah pasti akan menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membencinya." (As-Saff:8)

 

Diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab RA (wafat 23 H) bahawa baginda salallahualaihiwassalam bersabda;

 

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق حتى تقوم الساعة

“Tidak akan hilang daripada umatku sekumpulan manusia yang akan sentiasa zahir (menang dan teguh) di atas kebenaran sehingga terjadinya kiamat.” [HR Al-Hakim di dalam Mustadrak]

 

Pendek kata, agama Islam ini tidak akan pernah tergugat dengan sesiapa pun yang akan murtad walau apa dan bagaimana orangnya.

Kerana Islam tidak memerlukan kita tetapi kitalah yang berhajat dan memerlukan agama ini untuk keselamatan diri kita, dunia dan akhirat!

 

 

4. Sungguh pun begitu, ketegasan agama Islam ini tidak pernah mengurangkan rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Bagi sesiapa yang mengkaji agama Islam ini dia pasti akan menyedari bahawa peluang taubat, pengampunan dalam agama Islam ini adalah teramat besar.

 

Di dalam hadith sahih terdapat lelaki yang membunuh sembilan puluh sembilan orang dan masih diberi keampunan (HR. Muslim). Begitu juga hadith wanita pelacur yang diberi keampunan kerana telah memberi minum kepada anjing yang kehausan (HR. Al-Bukhari).

 

Begitu juga hadith lelaki yang tidak pernah melakukan kebaikan dan apabila hampir mati dia memerintahkan supaya mayatnya dibakar dan abunya dibuang ke laut agar dia tidak dapat diseksa oleh Allah. Namun Allah memaafkan lelaki tersebut dengan rahmat-Nya kerana takutnya si lelaki itu kepada kemurkaan Allah. (HR Al-Bukhari dan Muslim)

 

Kemuncaknya setiap pelaku dosa besar akan turut berhak mendapat syafaat Nabi salallahualaihiwassalam di hari kiamat selagi dia tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.

 

Nabi salallahualaihiwassalam bersabda;

شفاعتي لأهل الكبائر من أمتي

"Syafaat aku adalah untuk pelaku dosa besar daripada kalangan umatku."

[HR Abu Daud dan Al-Tirmidzi]

 

Semua ini menunjukkan Islam sebagai agama yang penuh dengan rahmat dan keampunan sehingga tidak ada sesiapa pun yang akan diabaikan oleh rahmatnya sekalipun kita ini seorang pembunuh, pelacur, peminum arak, pencuri, penjahat atau lebih dahsyat.

 

Sungguh agama Islam yang hebat. Ia tidak akan sekali-kali mengabaikan kita!

 

 

Kredit : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3373447536093811&id=100002857926668

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });