'Sugar baby' : Bukti Kegagalan Kita Sebagai Ibu Bapa


'Sugar baby' bukti kegagalan kita sebagai ibu bapa menjaga amanah bernama anak.

 

1. Punca utama anak-anak gadis sanggup menjual maruah diri demi duit ialah kerana mahu mendapatkan kesenangan dengan jalan yang singkat.

Ini bukan soal tidak cukup ilmu agama atau tidak pandai agama.

 

2. Mereka yang membuat kerja-kerja sebegini semuanya tahu halal dan haram. Tidak kurang pula gadis yang bertudung dan berbaju kurung atau melakukan solat namun tetap mempunyai 'Sugar Daddy'.

Tidak mustahil juga ada anak-anak 'Sugar Baby' ini yang berjaya mengirimkan ibu bapa mereka ke Mekah dengan wang hasil kerja 'gula-gula' ini.

Kenapa jadi begitu? Sebab ianya bukan masalah ilmu tetapi kawalan diri.

Mereka gagal mengawal diri, gagal mengawal nafsu dan gagal bersabar untuk mendapatkan sesuatu.

Kerana sejak kecil mereka tidak dididik untuk bersabar dan mengawal diri.

Apalagi mempunyai prinsip hidup!

 

3. Ramai ibu bapa mampu memastikan anak-anak mereka belajar dan mengaji. Sejak kecil dihantar ke sekolah untuk belajar itu dan ini.

Bab ilmu, anak-anak kita memang tidak ada masalah.

Tetapi tidak ramai ibu bapa yang mampu untuk menyuruh anak-anak mereka melakukan kerja-kerja rumah, bertegas dan mengawal tingkah laku mereka.

Berapa ramai ibu bapa mampu berkata; "TIDAK, TIDAK BOLEH, JANGAN" pada permintaan anak-anak??

Kerana sayang, kehendak anak sering diturutkan sampai anak-anak terlalu dimanjakan dan tidak pernah merasa susah atau tidak terbiasa dengan sabar.

"Maaf ustaz, anak saya tertidur, dia tidak boleh hadir kelas." Mesej si ibu, memberitahu sang guru agama bahawa anaknya tertidur.

Subhanallah, kasih yang merosakkan.

Kenapa tidak diterajang supaya si anak lekas bangun dan serik lagi mahu tidur waktu kelas?

Kenapa tidak disuruh si anak yang bertanggungjawab datang meminta maaf?

Akibatnya, si anak tidak pernah bertanggungjawab atas perbuatannya. Si ibu yang meminta maaf bukan dia, dan membesarlah seorang insan yang tidak pernah perlu 'pay the price' atas perbuatannya sehingga terlewat.

 

4. Sebagai ibu bapa, kita diberi amanah yang bernama anak-anak bukan hanya untuk dibelai, digomol dan dimanjakan tetapi dididik supaya menjadi insan yang mampu berbakti sebagai hamba Allah dan anggota masyarakat.

Kita perlu mendidik mereka supaya mampu hidup susah, boleh menerima arahan, boleh bersabar di atas perjuangan supaya mereka sanggup mati demi prinsip dan kebenaran.

Kita perlu mendidik mereka supaya mampu bersikap qanaah dan merasa cukup dengan nikmat yang sedikit dan sentiasa bersyukur dengan apa rezeki yang ada.

 

5. Malangnya kerana kasih sayang yang tidak benar, anak-anak kita langsung tidak diajar disiplin asas seperti menjaga kebersihan rumah dan persekitaran, membuang sampah, mengemas katil, dapur dan meja makan. Membasuh pinggan, memasak dan juga melakukan kerja-kerja kebajikan yang lain.

Sikap berkira dan penting diri telah disemai ke dalam jiwa anak-anak semenjak kecil secara tidak sedar sehingga mereka tidak lagi mempunyai empati dan peduli kepada orang lain.

 

6. Pendidikan anak-anak yang paling penting bukanlah pengetahuan tetapi sikap dan kebaikan peribadi.

Seorang pemuda yang jujur dan amanah lebih utama daripada puluhan doktor dan jurutera yang korup.

Bagaimanakah melahirkan atau menghasilkan seorang yang amanah dan jujur?

Mata pelajaran apa? Subjek apa? Sekolah apa? Jurusan apa? Yang boleh melahirkan orang yang jujur dan amanah?

 

7. Sebagai ibu bapa kita semuanya gagal apabila masalah sosial berterusan menimpa anak-anak kita tanpa ada usaha untuk islah dan pembaikan.

Tidak akan ada yang terselamat jika kita semua masih menganggap ini bukan masalah aku. Jika bukan anak kita yang menjadi 'Sugar baby' mungkin menantu atau cucu kita yang terlibat.

Pusing mana pun suatu hari nanti akan terkena juga dengan keluarga kita jika kita tidak berhati-hati... والعياذ بالله

Hanya kepada Allah kita memohon pertolongan!

 

Kredit: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3331659980272567&id=100002857926668

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });