Sexual Grooming: Cerita Ngeri Minggu Ini


Rosmawati Ahmad | 17-02-2021

Seminggu ini meledak berita ‘hangat’ yang sangat perlu diambil perhatian: sexual grooming.

Sexual grooming ini merujuk kepada perlakuan-perlakuan yang dilakukan oleh pesalah sebagai persediaan untuk melakukan penderaan seksual kepada kanak-kanak terlibat. Maka, sangat penting untuk ibu bapa untuk memahami proses ‘grooming’ ini dan mengenali tingkah laku pesalah yang menyumbang ke arah perlakuan ini.

Grooming ini tidak hanya melibatkan manipulasi terhadap mangsa, bahkan juga ibu bapa mangsa dan masyarakat. Secara lahiriah, pelaku ini selalunya kelihatan sepertii seorang yang baik, menawan dan suka membantu yang mana ini menyebabkan ibu bapa susah untuk mengenali mereka. Dan dalam banyak keadaan, pelaku ini kelihatan ‘suci’. Hanya bila perbuatan pelaku ini didedahkan, barulah dapat dihubungkait antara tingkah laku tersebut dalam konteks sexual grooming.

Mari kita lihat peringkat-peringkat sexual grooming ini.

  1. Pertama, pemilihan mangsa. Kajian menunjukkan yang mangsa biasanya dipilih berdasarkan tarikan fizikal (physical attractiveness), mudah untuk didekati (ease to access) atau mudah terdedah (vulnerability). Mangsa juga dipilih daripada kanak-kanak yang kurang keyakinan diri, dan jenis mudah mempercayai orang lain.  
  2. Kedua, pada peringkat kedua ini, pelaku akan berusaha untuk mendapat akses kepada kanak-kanak tersebut dengan cara memisahkan mereka secara emosi dan fizikal daripada penjaga mereka.
  3. Ketiga, membina kepercayaan. Pada peringkat ini, pelaku akan berusaha untuk mendapatkan kepercayaan mangsa, ibu bapa mangsa dan masyarakat. Justeru, mereka boleh melakukan penderaan seksual tanpa diketahui. Caranya pelbagai; dengan memberi hadiah, memberi perhatian yang lebih atau berkongsi rahsia dengan kanak-kanak terlibat. Ini menyebabkan kanak-kanak tadi berasa istimewa dan akhirnya akan membentuk rasa percaya terhadap pesalah.
  4. Keempat, menyahrasa pada sentuhan (desensitization of touch). Ini adalah peringkat akhir sebelum penderaan seksual yang sebenar berlaku. Pada peringkat ini, pesalah akan meningkatkan sentuhan bukan seksual seperti, contohnya, berpelukan, meringkuk (snuggles) bersama, bergusti (wrestling), menggeletek mangsa, mandi bersama, mengelap badan mangsa atau mengurut badan mangsa. Pada peringkat ini juga, pesalah akan mula bercakap tentang tingkah laku dan perkara-perkara seksual bagi membiasakan kanak-kanak tadi dengan hal-hal sebegitu.

Matlamat utama sexual grooming ini adalah bagi memastikan pesalah dapat melakukan penderaan seksual tanpa dapat dikesan.

Teknik sexual grooming inilah yang menyebabkan kanak-kanak tadi menjadi keliru kerana mereka melihat pesalah sebagai seorang kawan atau seperti ibu bapa (parent-like figure). Justeru, mereka risau jika mereka melaporkan penderaan seksual yang mereka terima, hubungan mereka dengan pesalah akan terjejas.

Disebabkan itulah amat penting untuk ibu bapa tahu siapa yang berada di sekeliling anak-anak dan tahu bagaimana mereka ini berinteraksi dengan anak-anak mereka. Ibu bapa juga mesti memastikan ada komunikasi dengan anak-anak tentang tingkah laku bersifat sexual grooming ini. Jadi anak-anak boleh melaporkan tentang perkara ini pada bila-bila masa tanpa rasa takut.       

Jadi bagaimana ibu bapa dapat memastikan kanak-kanak selamat?

  1. Tidak membenarkan anak-anak keluar atau tidur di rumah orang dewasa.
  2. Anak-anak tidak mererima mesej teks atau emel daripada orang dewasa, kecuali daripada guru/pengajar tetapi mesej yang sama perlulah diterima oleh semua yang terlibat.
  3. Jangan menggalakkan perlakuan suka berahsia di dalam rumah.
  4. Jika sesuai dengan usia, ibu bapa bolehlah berbincang dengan anak-anak tentang tingkah laku sexual grooming.
  5. Beri perhatian kepada mana-mana individu yang memberi perhatian lebih terhadap anak-anak.
  6. Beri perhatian kepada orang dewasa yang menyentuh anak-anak tanpa keperluan.

 

Kredit: https://www.psychologytoday.com/us/blog/protecting-children-sexual-abuse/201901/what-parents-need-know-about-sexual-grooming

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });