Kita Sudah Terlalu Biasa


Rosmawati Ahmad | 15-02-2021

Kita sudah terlalu biasa dengan nikmat yang kita dapat sehingga kita terlupa yang itu mesti kita syukuri.

 

Kita bangun pagi dengan tangan masih bergerak, kita lupa.

Kita dapat berfikir dengan baik, kita lupa.

Kita dapat makanan yang mengenyangkan perut, kita lupa.

Dengan kaki kita berjalan sana sini, kita lupa.Kita lupa untuk bersyukur kerana kita sudah terbiasa mendapat semua ini setiap hari, lalu kita tidak mengendahkannya atau menyedarinya. Kita lalui hari-hari tanpa fikirkan hal-hal ini.

 

Kita lupa kerana setiap hari, tanpa usaha dan susah payah, kita dapat semua nikmat tadi.

Kita lupa kerana apa yang lakukan atau apa yang kita dapat itu adalah apa yang kita lakukan setiap hari dan setiap hasilnya adalah atas usaha sendiri. Ini jugalah yang kita rasa.

Tuhan mula dipisahkan daripada nikmat-nikmat ini. Maka semua yang kita buat, kita pisahkan ‘sebab’ dan ‘mengapa’ kita melakukannya yang sepatutnya kembali kepada Dia. Tinggallah apa yang kita buat itu semata-mata rutin dan kerja.

 

Hilanglah rasa mahu bersyukur. Padahal syukur kepada Allah adalah inti ibadat. Nikmat sama ada yang nampak di mata atau tersembunyi, khusus mahupun umum, semuanya berasal daripada Allah SWT dan kita mesti bersyukur atas anugerah nikmat ini.

 

Tapi itulah, Allah SWT berfirman:

“Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-Ku yang bersyukur.” (As-Saba’ : 13)

 

Sedih.

Kita ini termasuk dalam majoriti yang tidak bersyukurkah?

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });