Covid-19, Cepatlah Kau Pergi!


Rosmawati Ahmad | 10-02-2021
Kehidupan

Tahun 2020 dan 2021 benar-benar menguji kita. 

Menguji yang bagaimana? 

Menguji kebergantungan kita kepada Allah dan sikap ihsan kita sesama manusia. 

Lihatlah, tidak kurang berita yang sampai ke telinga kita tentang rakan-rakan kita atau saudara-mara kita yang kehilangan pekerjaan. Belum lagi di dada-dada akhbar berita tentang penutupan pelbagai jenis perniagaan akibat Covid-19. 

Yang dahulunya jurupandu kapal terbang, kini berniaga makanan. Yang dahulunya bekerja di pejabat, kini menjadi penghantar bungkusan. Yang dahulunya pegawai bergaji ribuan, kini berniaga kecil-kecilan membantu suami sambil menjaga anak di rumah. 

Kehidupan berubah, gaya hidup berubah! 

Jika dahulu duit dibelanjakan tanpa mengira, kini mula berkira-kira. 

Jika dahulu hidup mewah sempurna, kini hidup sesederhana mungkin. 

Tapi percayalah, rezeki Allah untuk kita takkan pernah habis, kecuali bila ajal datang menjemput kita. 

Kepada adik-beradik kita, sanak-saudara kita dan kawan-kawan kita yang terkesan, malah sedang berusaha untuk mencari rezeki, kata-kata Rasulullah ini mampu memberi semangat, 

مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ

“Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari berminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan tetangganya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.” (HR. al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)) 

 

Orang yang berusaha mencari rezeki yang halal, wajahnya akan dibangkitkan pada hari kiamat bagaikan bulan purnama!

BAGAIKAN BULAN PURNAMA! 

Berpenat-penat mencari rezeki dan ganjarannya hebat sekali!

Rasulullah bersabda lagi, 

إِنَّ دَاوُدَ النَّبِيَّ كَانَ لاَ يَأْكُلُ إِلاَّ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ 

"Sesungguhnya Nabi Daud tidak makan kecuali dari hasil jerih payahnya sendiri”. (HR. Bukhari)

Betapa Allah dan Rasulullah mahukan kita sentiasa berusaha dan tidak meminta-minta. 

Namun di pihak yang masih direzekikan, bantulah. Tidak akan jatuh miskin jika membantu. Bahkan akan menjadi amal baik yang ditimbang oleh Allah. Inilah ihsan yang Allah mahukan. 

Gunalah khidmat mereka. 

Belilah jualan mereka. 

Doakan mereka. 

Dan doakan untuk diri kita juga. 

 

 

 

 

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });