Jadilah Seperti Burung


Burung Ciak

JADILAH SEPERTI BURUNG

Dulu masa tinggal di kampung, awal-awal pagi sudah dengar bunyi burung Ciak Rumah berkicau atas pokok cempedak. Dalam banyak pokok yang ada di sekeliling rumah, pokok ini juga yang menjadi kegemaran Ciak Rumah mahu menumpang. Pokoknya pula hidup gagah bersebelahan dengan rumah kayu kampung.

Kicauan burung-burung tadi memang menjadi punca bangun tidur awal pagi. Bising amat! Bagusnya, solat subuh pun awal, sarapan, dan terus jalan kaki pergi sekolah dalam gelap. Ini kalau hari sekolah.

Bila hari semakin cerah, bunyi-bunyi pun hilang. Mungkin burung-burung tadi sudah pun terbang mencari serangga, untuk sarapan juga. Dan sepanjang hari takkan nampak burung-burung Ciak Rumah tadi.

Nanti petang-petang adalah bunyi lagi.

Esok, awal-awal pagi, bunyi-bunyi yang sama akan berulang kembali.

Begitulah setiap hari...

Pernah kan kita dengar hadis tentang burung.

Ada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً

“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” [Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894)]

Selain hadis 'mengikat unta', hadis tentang burung ini adalah tentang tawakkal. Tawakkal bermaksud kita buat pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang kita mahu.

Burung pun mendapat rezeki dengan cara berusaha. Berusaha bangun awal pagi dan mula terbang mencari rezeki. Terbang ke sana sini dengan harapan dan tawakkal, ada rezeki untuknya hari itu. Burung tidak 'duduk' dalam sarang sepanjang hari mengharapkan rezeki datang sendiri. Rajin kan burung...

Itulah sebabnya burung Ciak Rumah tadi takkan  nampak sepanjang hari. Dekat senja nanti baru dengar semula suara. Mungkin gembira sebab perut sudah kenyang. Esok pagi diulang rutin yang sama.

Manusia pun begitu juga. Perlu berusaha dan bertawakkal dalam mahu memenuhi setiap yang diingini. Mahu rezeki lebih, usaha pun kena lebih.

Jangan duduk melangut, menempek saja tanpa usaha, berharap rezeki terus datang di depan mata. Ini salah. Kombinasi malas dan rezeki tidak berapa 'ngam' untuk 'join' sekali.

Malulah dengan burung.
Jadilah seperti burung.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });