SOLAT YANG HILANG


Selama usia yang dibawa sehingga hari ini maka selama itu jugalah kita melaksanakan solat seperti yang diperintahkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad Saw sejak ribuan tahun lalu.

Bagi yang sedang menambah amal mereka tidak hanya melaksanakan solat fardu sahaja, malah turut menggandakan bank pahala dengan melaksanakan solat sunat seperti duha, tahajud, fajar, tahiyatul masjid, sunat qabliah dan ba’diah dan lain-lain solat sunat yang dituntut.

Tetapi sejujurnya cabaran untuk melaksanakan solat fardu hari ini sangat besar. Malah solat yang sekian lama diperintahkan itu semakin hilang dari dalam diri seorang muslim. Akhirnya solat yang wajib itu menjadi sebuah kewajipan yang tidak terlaksana.

Lihatlah berapa ramai yang bergelar muslim rupanya seorang yang tegar meninggalkan solat fardu apatah lagi solat sunat yang langsung dipandang sepi.

Kesibukan menguruskan kehidupan dijadikan alasan sehingga melalaikan solat yang sepatutnya menjadi perkara utama berbanding yang lain.

Kalaulah mereka tahu yang solat itu sebenarnya tunjang kejayaan dalam hidup pasti mereka tidak akan meninggalkannya walaupun sehingga terpaksa melaksanakannya menggunakan mata.

Tanyakan kepada yang sedang berada di puncak kejayaan, apakah yang diutamakan dalam hidup sehingga Allah meletakkan mereka dalam kalangan orang yang berjaya. Pastinya jawapan mereka ialah dengan mendahulukan solat dan menjadikan urusan dunia sebagai perkara kedua.

Percayalah, saat kita menunda solat apalagi meninggalkannya rahmat Allah tidak lagi akan menyapa. Hidup tidak akan beroleh kejayaan malah keluarga juga akan berantakan. Zuriat tidak lagi menjadi penyejuk jiwa malah menyesakkan dada. Isteri yang diharap menjadi peneman hidup kini bertukar menjadi lawan. Segalanya tidak seperti yang diharapkan.

Inilah namanya kehilangan. Malah seorang sahabat Nabi pernah berkata,

“Jagalah solatmu kerana ketika kamu kehilangannya maka kamu akan kehilangan segalanya.” – Umar bin Khattab  

Tanyakan pada diri adakah selama ini kita berasa tenang saat solat ditinggalkan? Bagaimana pula dengan jiwa? Apakah ia gelisah atau langsung tiada apa-apa rasa?     

Bangunlah teman dari lena yang panjang. Carilah solat yang sekian lama hilang dalam diri dan mulakan semula biarpun kita seakan lupa surah awal pada rakaat pertama.

Yakinlah Allah sentiasa menyambut tangan hamba-Nya yang menghulur minta dipimpin. Istiqamahlah walau terasa berat kerana di akhir nanti Allah akan membayar dengan sebuah syurga yang tidak percuma.

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });