Tak Hensem Tak Apa, Janji Allah dan Rasulullah Sayang


Apa yang penting dalam hidup ini adalah disayangi dan diredhai Allah SWT

“Tak hensem tak apa, janji kaya!”

 

Ya, ini ayat yang kita sering dengar terutama di iklan radio akhir-akhir ini kan?

 

Memang, sesekali ia kedengaran seperti membangkitkan semangat kita untuk menjadi seorang yang kaya. Walaupun diri tidaklah hensem!

 

Namun, tahukah kita bahawa di sana ada yang lebih baik menanti kita walaupun diri tidak hensem?

 

Daripada Anas bin Malik r.a, katanya ada seorang lelaki Badwi bernama Zahir yang pada suatu hari telah datang bertemu Rasulullah SAW dengan membawa hadiah dari kampungnya. Setelah dia beransur untuk pulang, Nabi SAW telah menyediakan bekal untuk diberikan kepada Zahir.

 

Kemudian Rasulullah SAW berkata di hadapan para sahabat bahawa lihatlah akan Zahir ini. Dia merupakan orang tinggal di padang pasir. Sedangkan kita tinggal di pekan (Madinah). Daripada tindakan Rasulullah SAW itu, Anas berkata dia tahu bahawa baginda cukup sayang dengan Zahir.

 

Sebagai rekod, Anas merupakan seorang khadam Nabi SAW selama 10 tahun. Maka beliau cukup kenal apa yang Rasulullah SAW suka dan apa yang tidak.

 

Maka, dalam kisah Zahir ini, Anas berkata bahawa baginda SAW cukup sayang akannya. Manakala Zahir ini pula adalah seorang lelaki yang boleh dikatakan sebagai tidak segak.

 

Suatu hari yang lain, Rasulullah SAW pergi bertemu dengan Zahir. Ketika itu Zahir sedang berniaga menjual barangan. Ketika sampai, tanpa disedarinya, Rasulullah SAW memeluk Zahir dari belakang. Zahir yang tidak tahu gerangan orang yang memeluknya telah meminta agar dilepaskan pelukan itu.

 

Setelah Nabi SAW melepaskan sedikit pelukannya, Zahir kemudian menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya dia kerana baru menyedari orang yang memeluknya adalah baginda SAW. Maka, Zahir segera menyandarkan tubuhnya ke arah Nabi SAW supaya lebih erat dipeluk baginda.

 

Seelepas itu, Rasulullah SAW berkata dengan bergurau: “Siapakah yang hendak membeli hamba?”

 

Namun, Zahir kemudian menjawab bahawa dirinya tidak bernilai.

 

Jawapan Zahir berkenaan seolah-olah mengandaikan bahawa dirinya hanyalah seorang lelaki yang tidak mempunyai nilai. Tiada harga.

 

Namun, dengarkan jawapan Rasulullah SAW.

 

Sabda baginda yang bermaksud: “Tetapi pada pandangan Allah, engkau adalah sungguh bernilai.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Hibban)

 

Aduhai. Apakah pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah ini? Di kala Zahir yang dikategorikan sebagai lelaki tidak memiliki hensem, namun di sisi Allah kata Rasulullah SAW adalah bernilai.

 

Ya, marilah kita jadi orang baik dan sering melakukan kebaikan. Walau di mana sahaja dan bila-bila masa sekalipun, janganlah lari daripada melakukan kebaikan.

 

Mengapa? Kerana ingatlah bahawa orang yang melakukan kebaikan, walaupun tak hensem, tetapi Allah SWT dan Rasulullah SAW sayang!

Hensem
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });