Kenapa Perlu Ujub


Daripada buku Hidayah Milik Allah Bro! | 17-07-2020
Ujub hanya menzalimi diri sendiri

Ujub bermaksud perasan baik dan merasakan diri telah sempurna. Selain itu, ujub juga bermakna bahawa merasakan pada diri kita ini tiada apa yang boleh orang lain kritik. Ujub boleh menjadikan seseorang itu merasakan dirinya ini adalah terlalu sempurna berbanding orang lain.

Orang yang terkena penyakit ujub ini, apabila dia kaya, dia berasakan bahawa dialah yang paling kaya. Apabila mendapat isteri, dia berasakan bahawa isteri dialah yang paling cantik . Apabila mendapat anak pula, dia rasa anak dialah yang paling bijak. Inilah yang dipanggil ujub.

Berkenaan dengan perkara ini, Sheikh Ibnu Hatim berkata dengan pesanan yang baik kepada kita iaitu janganlah mati dalam keadaan kamu melakukan tiga perkara ini. Tiga perkara ini, andai ada pada diri kita, maka marilah berubah. Jangan sesekali kita membawa perangai ini sampai mati. Tiga perkara itu adalah:

i-Takbur

Inilah sikap negatif pertama yang ingin kita bincangkan. Takbur atau bongkak ternyata banyak merugikan diri sendiri. Sesiapa yang mempunyai sifat takbur, maka percayalah bahawa dia hanya tidak lain akan menambah kehinaan pada diri sendiri.

Ingatlah, janganlah sesekali kita membawa sifat sombong ni sampai mati. Bahkan janganlah sesekali kita mengamalkan sifat ini di dalam kehidupan kita. Kata Sheikh Ibnu Hatim, orang yang sombong dan mati dalam keadaan yang sombong, sebelum dia meninggal dunia, anak, keluarga dan saudara-mara tidak akan mempedulikan dia.

Benar, sifat takbur, sombong dan bongkak ini tidak akan membawa seseorang itu ke mana-mana. Bukan sahaja tidak disenangi masyarakat, bahkan ia akhirnya memberikan kesan kurang baik. Apakah kita rela diri kita tidak diendahkan sesiapa hanya kerana sifat takbur berkenaan?

ii-Hasad dan tamak

Salah satu sifat buruk yang perlu dibuang daripada diri kita adalah hasad dan tamak. Sifat ini benar-benar mendatangkan kesan buruk kepada bukan sahaja diri sendiri, bahkan kepada orang lain juga. Sifat hasad hanya mendedahkan kita kepada kepincangan dalam berhubungan. Manakala tamak pula hanya akan menjadikan kita kesal di kemudian hari.

Sifat tidak baik ini perlu dikikis dari hati dan diri kita kerana akibatnya sangat buruk. Hasad dan tamak menunjukkan seseorang itu mempunyai masalah di dalam hatinya. Orang yang terkena penyakit ini juga sebenarnya akhirnya akan menjadikannya tidak keruan dan gagal menilai tujuan hidupnya.

Maka, janganlah sesekali kali kita menjadi orang yang berhasad dengki serta tamak. Janganlah sesekali kita mempunyai penyakit ini sampai mati. Ingatlah pesanan Sheikh Ibnu Hatim bahawa siapa yang meninggal dunia dalam keadaan dia tamak dan haloba, maka sebelum dia meninggal, apa yang dia tamak dan halobakan, tidak akan dapat dia rasa dan nikmatinya.

Ya, dia tidak akan dapat sesekali merasainya kerana masa yang ada ketika hidup digunakan sepenuhnya untuk mengumpul apa yang ditamakkannya. Sebagai contoh, sekiranya dia tamak mencari harta dan haloba dalam mengumpulkannya, maka dia langsung tidak mempunyai masa untuk menikmatinya.

Sungguh, ia jelas berbeza dengan mereka yang sentiasa bersyukur dan redha terhadap kurniaan Ilahi. Orang yang sentiasa bersyukur bukan sahaja tidak terliur untuk mengumpulkan harta sehingga menjadi tamak. Bahkan mereka akan benar-benar memanfaatkan segala kurniaan Allah ke jalan yang diredhai.

Bagi mereka, apa yang ditamakkan adalah pahala dan redha Allah. Malah masa yang ada tidak digunakan ke jalan yang salah, tetapi digunakan pula untuk mendekatkan lagi diri kepada-Nya.

Namun, janganlah pula salah sangka. Bukan bermakna kita dihalang daripada mengumpulkan banyak harta. Bahkan Islam sebenarnya menggalakkan dengan harta yang banyak itu pasti mempunyai manfaat tersendiri apabila digunakan ke jalan yang benar seperti menderma, berzakat dan sebagainya. Cuma apa yang dilarang kepada kita adalah tamak sehingga menjejaskan fungsi sebenar diri diciptakan Allah dan lalai daripada mengingati-Nya.

iii-Ujub

Sifat ketiga yang ditegah kepada kita daripada mengamalkannya adalah ujub. Sifat ini adalah sifat buruk dan keji. Sebagai seorang mukmin yang sejati, sifat ujub seharusnya diperangi sehabis-habisnya. Mukmin yang sebenar sudah pasti menjauhi sifat ujub daripada bersarang dalam diri.

Maka, kalau ada sifat ini dalam diri kita, maka janganlah ia dibawa sampai mati. Kalau kita sekarang mempunyai perangai ujub, iaitu satu perangai yang perasan diri kita ini bagus, ingat kata-kata Sheikh Ibnu Hatim bahawa kalau tidak berubah sehingga sebelum meninggal dunia, bimbang ketika kematian, kita akan bergelumang dengan air kencing dan najis.

Ujub adalah sifat yang wajib kita kena buang. Sebab itu saya suka mengingatkan kepada pembaca semua, sekiranya ada orang memuji anda, segeralah potong pujian itu. Jangan pula bersikap sebaliknya iaitu apabila orang memuji kita, kita pula sebut sesuatu isu itu lagi bagus.

Pujian kadang-kadang perlu. Tetapi biarlah kena pada tempat, masa dan ketikanya. Baik orang yang memuji dan orang yang dipuji, masing-masing perlu bijak. Bagi yang memuji, janganlah memuji sehingga menjadikan orang yang dipuji sehingga lupa diri. Bagi orang yang dipuji pula, berpada-padalah mencari pujian manusia. Ingatlah, walau sebanyak mana pujian diberikan kepada kita, tetap tidak mampu menjadikan kita setinggi langit.

Pujian, kadang-kadang boleh menjadi racun. Andai ada orang yang gagal mengawal pujian yang diberikan kepadanya, ia boleh menjadikannya lupa diri. Ketika itu, muncullah pelbagai penyakit hati yang hanya gemarkan pujian. Tidak terkecuali adalah penyakit ujub.

Ujub
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });