Duhai Orang-Orang Beriman Dengarkan Pesanan Ini


Almarhum Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat | 02-07-2020
Ketenangan dan kebahagiaan adalah dambaan setiap mukmin

Firman ALLAH SWT di dalam surah At-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Ya, ayat di atas menjelaskan tentang perintah ALLAH supaya menjaga diri kita dan anak-anak daripada api neraka. Dalam ayat itu juga, ALLAH memanggil gelaran ‘wahai orang-orang beriman’. Mengapa?

Benar, ia bermaksud bahawa tidak kira siapa diri kita, sama ada kita adalah ayah, wakil rakyat, tok penghulu, tok penggawa, Menteri Besar, Menteri Pelajaran, Perdana Menteri atau sesiapa sahaja, selagi kita rasa mahu memasukkan diri ke dalam golongan orang yang beriman, maka dengarkanlah apa yang ALLAH pesankan. Renung dan hayatinya. Kecuali jika kita rasa tidak mahu menjadi orang yang beriman.

ALLAH berhak memanggil hamba-NYA dan berhak 100 peratus untuk mengkhabarkan pesanan kepada kita. Sedangkan kita pula tiadak hak untuk merasakan apa yang dipesan oleh ALLAH itu sebagai sesuatu yang berat. Kita tiada hak. Maka dengarkanlah pesanan ini iaitu jagalah diri kita dan anak-anak kita daripada api neraka.  

Pesanan ini adalah pesanan yang agung. Ia adalah pesanan untuk kesalamatan diri kita dan anak-anak. Ia adalah pesanan daripada yang Maha Tinggi. Pesanan-NYA, kata-kata-NYA dan suruhan-NYA tidak pernah mengandungi keraguan. Namun, andai timbul rasa was-was, itu adalah kerana diri kita. Bukannya ALLAH. DIA Maha Adil, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Maka, bukan taraf kita untuk berbincang dengan-NYA. Bukan taraf kita untuk tawar menawar dengan ALLAH. Jika dengan manusia, barangkali kita boleh berbincang dengan mereka kerana merasakan pendapat mereka tidak tepat. Namun, tidak ALLAH. Kita tiada hak untuk merasakan pesanan, nasihat dan perintah ALLAH sebagai tidak tepat, kerana ALLAH itu Maha Mengetahui. DIA memang tentu betul. Bahkan DIA adalah Tuhan, manakala kita adalah makhluk.

ALLAH adalah dzat yang serba cantik, lengkap dan indah. Bermakna kalau apa yang ALLAH perintahkan itu, kita rasakan sebagai tidak kena dan tidak baik, maka ia beerti kita ini tidak bertuhankan ALLAH. Sekali kita menjadikan ALLAH sebagai Tuhan, maka kita kena yakin 100 peratus malah lebih lagi, apa yang DIA katakan itu adalah baik belaka.

Hidup kita sebagai hamba, rujukannya adalah ALLAH. Bagaimana mahu menjadi hamba yang baik, maka rujukannya dapat dilihat kepada Nabi Muhammad SAW. Ya, walaupun Rasulullah juga adalah manusia, namun baginda ada pengawasan daripada Malaikat Jibril. Baginda bukan sembarangan manusia. Baginda menerima wahyu dan ilmu terus daripada ALLAH.

Oleh itu, maka iktikad kita dengan ALLAH, apa yang ALLAH perintahkan itu adalah baik 100 peratus dan benar. Begitu juga dengan apa yang disampaikan oleh Rasulullah. Ia wajib benar kerana apa yang terbit daripada mulut Rasulullah itu telah diawasi dan dikawal oleh malaikat yang tidak terlibat dengan perkara tidak baik.

Berbalik kepada ayat di atas, apabila ALLAH memerintahkan kita untuk menjaga diri kita dan ahli kita daripada api neraka, maka hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh. Jangan sesekali kita menjadi bahan bakar di neraka ALLAH, di sana kelak.

Jika di dunia, kita berikhtiar bersungguh-sungguh menjaga diri dan anak kita daripada kepanasan api, maka untuk mengawalnya daripada api neraka kelak adalah lebih utama. Sebagai contoh, kita jauhkan anak-anak daripada mendekati unggun api kerana bimbang mereka akan tercedera.

Begitu juga kita mengelakkan mereka daripada bermain dengan api kerana bimbang ia akan melukakan mereka. Tindakan itu semua menandakan bahawa kita sayangkan mereka daripada terjatuh di dalam api, terbakar atau tercedera. Bahkan, sekiranya mereka mendekati juga api itu, maka kita dengan tegas dan cepat mengheretnya menjauhi apa berkenaan.

Jika di dunia ini pun, kita tidak tidak sanggup melihat mereka terkena bahang api, apatah lagi dengan api neraka? Sedangkan jika dibuat perbandingan, antara api dunia dan neraka, jauh terlalu besar bandingannya. Bayangkan kata-kata Nabi bahawa walau hanya percikan kecil api neraka jatuh ke bumi, ia boleh menghancurkannya. Itu baru percikannya. Bayangkan kalau api neraka yang sebenar-benarnya.

Marilah dan cubalah letakkan semua pesanan dan peringatan ini di dalam kepala serta fikiran kita. Sebelum dan selepas tidur, kita ambillah sedikit masa untuk merenunginya. Ingatlah, bahawa kita semua akhirnya akan pulang semula kepada ALLAH. Di sana, hanya ada dua tempat kita akan dikembalikan, iaitu sama ada di syurga atau neraka.

Oleh itu, sentiasalah kita pasak di dalam fikiran, ke manakah mahu kita tujui? Jadikanlah ia amalan setiap masa dan ketika. Cita-cita kita adalah syurga. Namun, bagaimanakah kelak andai kita terlupa, kehidupan kita selama ini sedang mengarahkan kita ke arah neraka?

*artikel ini adalah tulisan almarhum Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dimuatkan dalam buku Bicara Ini Demi Ilahi 

Orang beriman
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });