Bahagian Lelaki Lebih Banyak Berbanding Perempuan Dalam Pembahagian Pusaka. Adilkah?


 

Soalan

 

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ada satu soalan di sini berkenaan pembahagian pusaka. Saya ingin bertanya mengapakah bahagian pusaka bagi lelaki adalah dua kali ganda lebih banyak berbanding bahagian pusaka perempuan? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

 

Jawapan

 

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

 

 

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

 

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا ﴿٧

 

MaksudnyaOrang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah). - Surah al-Nisa’ (7)

 

Ayat ini menerangkan bahawa pada dasarnya Allah S.W.T memberitahu bahawa apabila meninggalnya seseorang itu, maka harta peninggalannya akan diwarisi oleh para warisnya yang berhak, dan dijelaskan bahawa setiap orang baik lelaki mahupun perempuan ada bahagian masing-masing dalam perwarisan ini. Kemudian ayat ini dijelaskan lagi dalam perihal bahagian anak lelaki dan anak perempuan melalui firmanNYa:

 

يُوصِيكُمُ اللَّـهُ فِي أَوْلَادِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ

 

MaksudnyaAllah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. - Surah al-Nisa’ (11)

 

Ayat ini merupakan salah satu ayat bagi penjelasan mengenai urusan perwarisan harta pusaka atau lebih dikenali dengan faraid atau mawarith. Dalam ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan bahawa bahagian pusaka bagi seorang anak lelaki bersamaan dengan bahagian dua orang anak perempuan. Ini bermakna bahagian lelaki dua kali ganda lebih banyak berbanding bahagian perempuan.

 

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi ketikamana menafsirkan ayat ini berkata, Allah S.W.T menjadikan bahagian perwarisan bagi perempuan sebagai kayu ukur iaitu dengan cara bahagian lelaki ditentukan dengan melihat kayu ukur iaitu bahagian perempuan, maka jadilah bahagian bagi seorang anak lelaki bersamaan dengan bahagian dua orang anak perempuan. Lalu ketika beliau ditanya, dimanakah keadilannya di dalam ayat ini yang jelas menunjukkan kurangnya nisab bagi perempuan?

 

Maka syeikh menjawab bahawa seorang suami dituntut untuk memberi nafkah kepada isterinya, begitu juga seorang lelaki dituntut untuk menafkahi seorang perempuan, maka separuh bahagian lelaki (bagi perempuan) adalah cukup baginya walaupun dia belum berkahwin, sehinggalah perempuan tersebut berkahwin dan bahagiannya itu akan tetap bersamanya kerana suaminya yang perlu menafkahinya. [Lihat: Tafsir al-Sya’rawi; 4/2025].

 

Dr Wahbah Zuhaili berkata di dalam tafsirnya, bahagian anak lelaki bersamaan dengan dua bahagian anak perempuan adalah kerana para lelaki memiliki kewajipan memberi nafkah, bekerja menanggung berbagai tanggungan yang berat dan membayar mahar. Sedangkan perempuan sama sekali tidak dibebani kewajipan memberi nafkah kepada siapa pun, sama ada ia sebagai anak perempuan, saudara perempuan, ibu, isteri atau sebagainya.

 

Perempuan hanya menafkahi dirinya sendiri setelah dia besar atau sudah baligh jika dia belum bersuami. [Lihat: Tafsir al-Munir; 4/273].

 

Dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas R.A:

 

«أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ»

 

Maksudnya“Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya”. Riwayat al-Bukhari (6732), Muslim (1615)

 

Imam al-Nawawi berkata di dalam syarahnya, yang dimaksudkan dengan أولى رجل ialah lelaki yang paling hampir (yang paling dekat nasabnya) dan bukannya bermaksud lebih layak. Beliau kemudiannya menambah lagi bahawa Nabi S.A.W menjelaskan الرجل di sini sebagai ذكر sebagai penjelasan ke atas sebab kelayakannya ialah lelaki iaitu yang menjadi sebab ‘asabah dan juga sebab keutamaan dalam hal perwarisan. Disebabkan itu dijelaskan dalam al-Quran, perkaitannya dengan ayat al-Quran di atas, yakni hikmahnya iaitu lelaki menanggung beban atau kesulitan yang banyak dari sudut kewangan, kekeluargaan, dan sebagainya. [Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim; 11/53].

 

Perkara ini dijelaskan lagi dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah yang menyatakan bahawa salah satu prinsip atau garis panduan dalam perwarisan ialah beban kewangan yang diwajibkan oleh syara’ ke atas para waris untuk menanggungnya dan lakukan terhadap orang lain.

 

Ini adalah satu-satunya prinsip yang menyebabkan berlakunya perbezaan antara lelaki dan perempuan iaitu dalam erti kata lain bahawa lelaki lebih bertanggungjawab secara kewangan.

 

Namun, nisbah 2:1 ini bukanlah mutlak ke atas semua situasi yakni ada sebahagian situasi yang menyatakan bahagian perempuan melebihi bahagian lelaki dan wujud juga sebahagian keadaan bahagian perempuan menyamai bahagian lelaki.

 

 

Penutup

Kesimpulannya, bahagian anak lelaki memang melebihi dua kali ganda daripada bahagian anak perempuan disebabkan anak lelaki menanggung banyak beban dari segi kewangan, nafkah, mahar, memelihara tanggungan dan sebagainya. Dan ia juga tidak bermakna tiada keadilan buat anak perempuan namun keadilan terlihat apabila perempuan tidak dituntut untuk menafkahi para suami dan juga ahli keluarganya sedang itu adalah tanggungjawab lelaki.

 

Akhir kalam, kami memetik sepotong ayat al-Quran firman Allah S.W.T yang menyatakan bahawa setiap yang ditentukan atau diciptakan Allah S.W.T ke atas hambaNya pasti mempunyai hikmah (tidak menjadi sia-sia). FirmanNya:

 

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ ﴿١١٥

 

Maksudnya"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?".

 

 

Semoga Allah S.W.T mempermudah segala urusan kita, menetapkan hati dan keimanan dalam diri kita, memberkati segala amal kebajikan kita.

   

 

Kredit artikel: https://www.muftiwp.gov.my/

faraidpusakahukum
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });