Islam Itu Mudah. Rupanya Boleh Juga Azankan Baby Melalui Telefon


Apabila seseorang bayi dilahirkan, antara amalan yang sering dilakukan dalam masyarakat kita adalah melakukan azan di telinga sebelah kanan bayi dan iqamah di telinga sebelah kiri.

Ia dilakukan untuk menyambut bayi dalam masa yang sama memastikan bahawa bunyi pertama yang didengari bayi ketika di dunia adalah kalimah pengagungan kepada Allah SWT serta penyaksian bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah.

 

Dikatakan bahawa amalan ini disandarkan kepada sebuah hadis daripada seorang tabiin di Madinah bernama ‘Asim bin ‘Ubaidillah. Beliau meriwayatkan daripada Ubaidullah bin Abi Rafi’ daripada ayahnya (Abu Rafi ialah sahabat Nabi SAW):

“Aku melihat Rasulullah azan di telinga Hasan sebaik selepas dilahirkan oleh Fatimah.”

 

Benarkah Perlu Azan Di Telinga Bayi

 

Walau bagaimanapun setelah diteliti, hadis ini mendapat banyak kritikan daripada pakar hadis. Ia dinilai lemah kerana ‘Asim bin Ubaidillah adalah seorang yang lemah dalam periwayatan hadis sekalipun beliau pakar dalam ilmu qiraat.

 

Meskipun hadis ini lemah tetapi ahli fiqah mengatakan bahawa kelemahan ini tidak parah. Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar dan ramai ulama, hadis lemah boleh dijadikan amalan dengan syarat bahawa kelemahannya tidak terlalu parah. Selain itu amalan yang dilakukan dari hadis ini juga adalah untuk tujuan berhati-hati sahaja dan bukan penegasan bahawa ia merupakan sunnah Nabi SAW.

 

Selain itu, terdapat dalil lain yang menyokong kandungan hadis tersebut (matan). Contohnya memang ada diceritakan bahawa syaitan hadir ketika bayi dilahirkan untuk mengganggunya. Dalam hadis lain yang biasa kita dengar juga diceritakan bahawa syaitan lari apabila mendengar suara azan.

 

Malah ramai dalam kalangan ulama yang menyebutkan tentang anjuran perbuatan azan dan iqamah pada telinga bayi ini kerana kelebihan dan kebaikan azan dan iqamah itu sendiri, contohnya Imam Ibnu Qudamah, Dr Wahbah Az-Zuhaily dan juga Imam Syairazi.

 

“Disunatkan bagi bapa bahawa azan ia pada telinga bayi yang kanan dan diiqamatkan pada telinga yang kiri” (Dr Wahbah Az-Zuhaily – Kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatihi)

 

Berkata Ibnu Qayyim,

“Dan rahsia mengazankan bayi – Allah lebih mengetahui iaitu supaya pertama kali yang didengarkan manusia ialah ucapan yang mengandungi makna kebesaran Tuhan dan keagunganNya, serta penyaksian yang pertama kali ketika datang ia kepada Islam, seumpama mengajarnya tentang syiar Islam ketika memasuki dunia, sebagaimana dia ditalqinkan ketika keluar dari dunia. Dan juga sampainya faedah azan ke dalam hatinya dan berkesan pada hatinya di samping ada faedah lain dalam hal itu iaitu larinya syaitan dari kalimah azan, dimana syaitan selalu menunggu kelahirannya lalu menyertainya dengan takdir Allah dan kehendakNya. Maka dengan itu syaitan yang menyertai kelahirannya itu mendengar sesuatu yang melemahkannya dan membuatnya marah sejak awal mengikutinya…”

 

Justeru, azan di telinga bayi sewaktu dilahirkan adalah dibolehkan dengan syarat tidak diyakini bahawa itu adalah sunnah nabi, tetapi amalan dan anjuran para ulama serta sekadar ingin melindungi bayi tersebut sahaja.

 

Bolehkah Azan Melalui Telefon?

 

Bagaimana pula jika si suami tidak berada di sisi saat bayi dilahirkan? Mungkin berada jauh di sisi kerana tuntutan kerja dan sebagainya – adakah boleh mengazankan bayi tersebut melalui telefon?

 

Jawapannya boleh, malah sesiapa sahaja boleh mengazankan bayi tersebut. Tidak dihadkan kepada suami sahaja atau orang tua. Tidak ada dalil yang melarang hal ini. Cuma sekali lagi perlu diingatkan bahawa perbuatan ini tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW, hanyalah amalan para ulama’ untuk kebaikan bayi tersebut. Wallahua’lam.

 

 

Kredit: Tzkrh.com

Gambar:BabyCenter.com

islambayiazanakidah
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });