"Suami boleh suruh tapi tidak boleh marah isteri jika isteri tidak mahu buat kerja rumah." Eh, kenapa pula?


Dulu-dulu masa sehari lepas nikah, Tok Kadi kat sini memang akan minta pasangan pengantin baru itu datang sendiri untuk ambil sijil nikah. Masa mula-mula sampai, Tok Kadi panggil saya dulu, tanpa suami. Dia suruh suami tunggu di luar. Maka saya pun dengan rasa pelik, masuklah ke pejabat Tok Kadi. Dah kenapa nak saya masuk seorang diri pulak?

 

Soalan pertama Tok Kadi itu tanya, "Apa tugas isteri?"

 

Saya jawab, "Patuh kpd suami, menyediakan keperluan suami."

 

Tok Kadi tanya lagi,"Dalam rumah tangga, siapa yang kena buat kerja rumah?"

 

Saya dengan naifnya menjawab, "Isteri."

 

Tok Kadi tanya lagi, "Siapa yang kena memasak?"

 

Saya masih jawab, "Isteri."

 

Tok Kadi tanya terus, "Siapa kena basuh kain?"

 

Dan saya masih jawab, "Isteri."

 

Tok Kadi itu tanya lagi, "Siapa kena jaga anak?"

 

Saya masih jawab, "Isteri."

 

Tok Kadi terus bertanya, "Kenapa isteri?"

 

Saya diam kejap cari jawapan. Lepas itu saya jawab, "Sebab dari dulu selalu tengok mak yang buat semua tu."

 

Tok Kadi geleng kepala. Saya dah salah jawab ke?

 

Lepas itu Tok Kadi suruh saya panggilkan suami saya. Tok Kadi tanya kepada suami saya, "Kalau seorang suami menyidai kain, apa orang keliling akan cakap?"

 

Suami saya jawab, "Isterinya queen control."

 

Saya tersenyum geli hati mendengar jawapan suami saya.

 

Tok Kadi tanya lagi, "Sepatutnya siapa yang kena buat semua kerja rumah?"

 

 

Suami saya jawab, "Suami."

Masa ni saya gelak terus sebab ingatkan jawapan dia salah. 

 

Dan Tok Kadi menganggukkan kepala sambil senyum. "Bagus kalau kamu tahu tugas kamu."

 

Dia serahkan sijil nikah kami tanpa soalan lain. Masa tu saya kerutkan dahi. Jawapan suami saya betul?

 

Barulah saya tahu kerja rumah adalah tugas suami. Itupun suami saya yang beritahu. Jika isteri yang buat, itu adalah ehsannya terhadap suami. Suami boleh suruh tapi tidak boleh marah isteri jika isteri tidak mahu buat. Tapi selalunya isteri akan buat tanpa disuruh kerana isteri sudah diterapkan sejak dulu bahawa kerja rumah kerja isteri, bukan suami.

 

Pada zaman dahulu, isteri duduk di rumah dan suami keluar bekerja. Mestilah isteri buat kerja rumah walaupun itu bukan kerjanya.

 

Sekarang, sama ada isteri bekerja atau tidak, cabarannya tidak sama macam dulu. Nak pula dapat suami yang tidak tahu soal agama. Yang dia tahu, suami ada kuasa mutlak terhadap isteri. Yang dia tahu, isteri kena ikut cakap suami. Yang dia tahu, isteri berdosa kalau tidak ikut cakap suami.

 

Kita terlalu mengikut LUMRAH & ADAT,
Sampai lupa pada HAKIKAT.

 

Malu apabila suami dilihat buat kerja rumah, takut nanti orang kata isteri yang control suami. Takut orang kata suami itu dayus. Kalau dengan kawan-kawan pula, takut nanti digelar takutkan isteri. Sedangkan Rasulullah SAW pun buat kerja rumah. Baginda jahit sendiri jubahnya yang koyak. Adakah kita tidak malu dengan baginda?

 

Lebih sedih apabila keluarga suami pun tidak tahu pasal ini. Apabila anak lelaki mereka buat kerja rumah, menantu perempuan pula dipandang seperti pesalah berprofil tinggi. Sedangkan sepatutnya mereka bangga kerana anak lelakinya mengikut sikap Rasulullah SAW.

 

Apabila rumah berselerak, orang kata isteri yang malas.
Apabila anak-anak selekeh, orang kata mak tidak pandai jaga anak.
Apabila selalu beli makanan di kedai, orang kata isteri tidak pandai masak.
Apabila semua suami buat, orang kata tidak guna ada isteri.

 

Penat dengar apa orang kata. Cuba sedaya upaya supaya orang tidak mengata. Sampai lupa apa ALLAH SWT kata.

 

Itu yang buat kebanyakan isteri memberontak. Bukan sebab benci tapi kerana penat ehsannya tidak dihargai. Mahu dilawan, takut berdosa. Tidak buat kerja, nanti takut suami marah. Apabila suami marah, berdosa jugak. Sampai suatu masa, buat sesuatu sebab kena buat bukan kerana ehsan lagi. Maka, ikhlas pun hilang. Apabila ikhlas hilang, itu yang sudah tidak pandai cakap elok-elok dengan suami, tidak tahu hendak senyum kepada suami, tidak tahu hendak beromantik dgn suami. Semua kemanisan hidup berumah tangga telah hilang.

 

Jadi, apabila isteri buat perangai, carilah puncanya. Isteri tidak akan cakap sebab dia sudah penat. Penat mahu mengajar imamnya sendiri. Penat mahu ajar suami bagaimana hendak jaga isteri. Penat mahu ajar pemegang kunci pintu syurganya. Dicakap nanti dikata mengada-ngada. Terlebih cakap, berdosa pula. Ajar suami, takut nanti tercalar pula egonya. Serba salah. Jadi, kalau tidak pandai, pergilah masjid, solat berjemaah, cari ustaz dan bertanya kepadanya.

 

Wahai suami… jangan terlalu ambil kesempatan di atas ehsan seorang isteri. Sama ada isteri itu halalkan ehsannya ataupun tidak, kamu tetap akan ditanya kelak.

 

Kredit: (FB) The Tazkirah Iman

perkahwinanrumah tanggatanggungjawab
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });