Pernah Mengumpat Ramai Orang – Macam Mana Nak Minta Maaf?


Perhubungan kita dengan manusia menatijahkan banyak hal-hal yang tidak disenangi. Ada kala kita bermasam muka, berselisih faham, berdendam dan dosa yang paling senang kita lakukan adalah mengumpat.

Mengumpat dalam bahasa Arab dipanggil ‘ghibah’. Ia adalah perbuatan menyebut perihal orang lain yang tidak dia sukai sekalipun perkara itu benar. Jika tidak benar pula ia bertukar menjadi fitnah.

Manakala kata Imam Nawawi ghibah adalah menyebut keburukan seseorang saat di tidak ada di situ ketika perbualan berlaku.

Nabi SAW sendiri pernah menegur Saidatina Aisyah kerana melakukan kesalahan ini.

 

Ada seorang wanita yang menemui ‘Aisyah R.anha. Tatkala wanita itu hendak keluar, ‘Aisyah berisyarat pada Nabi SAW dengan tangannya untuk menunjukkan bahwa wanita tersebut pendek. Nabi SAW lantas bersabda, “Engkau telah mengghibahnya.” [HR. Ahmad (6/136) – Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahawa sanad hadis ini sahih sesuai syarat Muslim]

Tidak ramai yang terlepas daripada dosa ghibah ini. Kadang-kadang ia juga dilakukan tanpa sedar.

Setelah mengetahui hakikat perkara ini, mungkin timbul di benak kita – bagaimana untuk menghapus dosa mengumpat yang telah banyak dilakukan. Kadang-kadang kita lupa atau tidak mengenali langsung orang yang diumpat.

 

Dalam hal ini para ulama mempunyai beberapa pendapat:

 

#1 – Seseorang Itu Wajib Meminta Maaf Kepada Orang Yang Diumpat

Sebahagian ulama Mazhab Syafie menggariskan bahawa seseorang itu perlu menyebut dan mengakui kesalahan yang telah dilakukannya kepada orang yang diumpat.

Hal ini sudah pastinya berat untuk dilakukan maka ia menghalang seseorang itu daripada melakukan dosa mengumpat pada masa hadapan.

 

#2- Minta Maaf Secara Umum

Iaitu dengan meminta maaf tanpa menyebutkan apa yang telah kita lakukan. Ini kerana jika mengaku kesalahan secara terang-terangan, dibimbangi orang yang diumpat akan terasa hati, menjadikan masalah lebih besar serta dapat memutuskan silaturahim.

 

#3- Bertaubat Nasuha Kepada Allah

Hal ini ada disebutkan dalam Mazhab Hanbali. Seseorang itu tidak diharuskan untuk meminta maaf dan mengakui dosanya mengumpat namun perlu bertaubat bersungguh-sungguh atas kesalahan yang telah dilakukan, mengucapkan istighfar serta menyebutkan hal-hal baik tentang orang tersebut.

 

#4- Bersedekah Serta Lakukan Kebaikan Kemudian Pahala Diniatkan Buat Orang Tersebut

Langkah ini diambil kerana kita sudah lupa siapa yang pernah diumpat. Mungkin terlalu ramai dan mungkin juga kita langsung tidak mengenali orang yang diumpat. Maka apa yang boleh dilakukan adalah – lakukan kebaikan contohnya sedekah lalu diniatkan pahala tersebut buat orang yang diumpat.

“Ya Allah, sedekah yang aku lakukan ini aku sedekahkan pahalanya buat orang yang pernah aku zalimi”

 

Zalimi ini merangkumi dosa mengumpat, dosa membuat orang terasa hati dengan kata-kata kita, kita terambil hak tanpa sedar dan sebagainya.

 

Mudah-mudahan kebaikan tersebut dapat menghapuskan keburukan dan dosa yang telah kita lakukan.

 

Berhati-hatilah dengan dosa mengumpat kerana disebutkan dalam hadis bahawa ianya lebih teruk daripada kesalahan zina. Kerana itu Rasulullah sering mengingatkan bahawa lidah boleh membawa bencana kepada seseorang bukan sahaja di dunia tetapi boleh mengheret ia ke jurang neraka. Semoga kita diberikan kekuatan untuk semakin menjauhi perbuatan ghibah ini.

 

kredit: Tzkrh.com

mengumpatdosaakidahhukum
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });