4 PERKARA YANG MEMBUATKAN HIDUP MENJADI SEMPIT


Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani | 06-05-2020

 

Kita pasti pernah berasa dalam keadaan sedih bila ditimpa ujian dari ALLAH. Kita juga pasti pernah berada dalam keadaan situasi di mana kemarahan kita meluap-luap dek kerana kesilapan dari orang lain. Dan kita juga pasti pernah berasa berdendam pada mereka yang pernah melakukan kejahatan kepada kita.

Sedih, marah, dan dendam. Ini adalah di antara tiga keadaan dari pelbagai banyak tindakan yang menyebabkan dada kita berasa sempit. Tetapi, keadaan-keadaan tersebut selalu menghiasi hidup kita. Kadang-kadang ia berada di dalam diri dalam jangka waktu yang panjang dan kadang-kadang hanya dalam tempuh yang pendek saja. Apa yang pasti saat sifat-sifat tersebut bersarang, dada akan berasa sesak, hati pun kehilangan daya hidupnya dan menjadi lemah. Dan keadaan yang lemah itu akan membuatkan syaitan-syaitan mudah menguasai hati kita.

Alangkah ruginya kehidupan kita kalau dipengaruhi oleh musuh ALLAH SWT. Dan ketahuilah bahawa orang yang menjadikan Syaitan sebagai petunjuk kehidupan akan menemui kegagalan akhirnya. Mereka sentiasa resah kerana sentiasa diburu rasa bersalah, bukan sahaja kepada ALLAH SWT tetapi juga kepada diri sendiri.

Persoalannya, apakah sebenarnya yang menyumbang kepada hadirnya keadaan-keadaan yang dimaksudkan tadi iaitu perasaan sedih, marah dan dendam itu tadi? Apakah penyebabnya hati kita berasa tidak tenang, resah, sentiasa diburu rasa bersalah, dan perasaan-perasaan yang menyesakkan ini?

Aid Al-Qarni dalam bukunya La Tahzan ada mengingatkan bahawa kita dianjurkan untuk berwaspada dan berhati-hati terhadap empat perkara yang boleh menjadikan hidup kita ini sempit, hati kita boleh menjadi sedih dan dada kita menjadi sesak.

Ingatlah bahawa empat perkara ini juga boleh merenggut ketenangan hidup kita. Dan iaia boleh menghilangkan keberkatan dalam hidup kita seharian.

Apakah empat perkara tersebut?

SUKARKAH MENERIMA QADA DAN QADAR ALLAH?

Pertama apabila kita tidak dapat menerima qada dan qadar ALLAH atau tidak rela menerimanya.

Inilah perkara pertama yang menyebabkan kita berasa sempitnya dada. Kadang-kadang dalam hidup kita ini, qada’ kitanya ini telah ditentukan oleh ALLAH bahawa kita ditimpa sesuatu penyakit. Qada’ ini bagi sesetengah orang, mereka tidak boleh menerima keadaan bahawa dia terpaksa sakit. Atau dalam hidupnya juga, dia ditakdirkan hidup susah yang tidak sama dengan adik-beradiknya yang lain. Maka pada dirinya, dia tidak boleh menerima hakikat berkenaan.

Dan apabila mereka tidak boleh menerima keadaan ini, maka dia akan menjadi sempit dadanya. Dia akan menjadi resah dan tidak menentu dalam menjalani perjalanan hidupnya sendiri. Ia berpunca daripada kesan tidak dapat menerima ketentuan qada dan qadar ALLAH ini sendiri.

Sedangkan sifat seorang mukmin sejati adalah mereka dapat menerima segala qada dan qadar ALLAH.

Orang mukmin ini akan menerima dengan hati yang yakin dan reda terhadap qada dan qadar ALLAH SWT tanpa ragu-ragu kerana percaya kepadanya (Qada’ dan Qadar) adalah rukun Iman yang ke-6. Jika seseorang itu tidak rela menerima qada dan qadar, maka secara tidak langsung akan rosak imannya kepada ALLAH SWT.

Kita sememangnya mengetahui bahawa Qada’ dan Qadar adalah ketetapan ALLAH SWT yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmu-NYA yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan.

Firman ALLAH lagi yang maksudnya :

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH.” (Surah Al-Hadid ayat 22)

Qada’ dan qadar rahsia ALLAH. Sebagai hambanya, adalah bukan tugas kita untuk mempersoalkannya. Tugas kita adalah melaksanakan ibadah sebaik mungkin dan tingkatkan ketakwaan dan keimanan pada ALLAH SWT dan yakin dengan janji-janji-NYA bahawa DIA akan anugerahkan hamba-NYA yang beriman dengan syurga. Sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT supaya kita sentiasa dirahmati-Nya di dunia dan akhirat.

Berdasarkan hadis Nabi SAW, hanya doa sahaja yang dapat mengubah qada dan qadar. Baginda bersabda maksudnya: 

Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan berbuat baik kepada ibubapa. (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tarmizi)

Kita sebagai mukmin juga hendaklah bersangka baik dengan ALLAH SWT (husnu zan) di atas sesuatu peristiwa atau kejadian yang berlaku di dunia ini.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"ALLAH SWT berfirman, 'AKU sesuai dengan prasangka hamba-KU kepada diri-KU'." (Hadis RiwayatAl-Bukhari)

Rasulullah SAW juga bersabda, yang maksudnya:

"Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan ALLAH." (Hadis Riwayat Muslim)

Apakah yang dimaksudkan dengan berbaik sangka dengan ALLAH?

Berbaik sangka di sini adalah rasa takut dan harap yang saling bergandingan, ataupun rasa takut mengatasi rasa harap. Yakinilah setiap sesuatu kejadian yang berlaku sama ada di langit atau di bumi atau kepada diri kita sendiri adalah ketetapan yang terbaik yang diciptakan oleh ALLAH SWT dan terdapat beribu hikmah yang tidak mampu kita memikirkannya.

Demikianlah sifat kita sebagai orang yang beriman kepada ALLAH dan qada’ dan qadar-NYA. Demikianlah juga kita diajar agar berhati-hati dalam menerima ketentuan qada’ dan qadar-NYA.

Ingatlah, bahawa apabila ditentukan kepada kita oleh ALLAH akan sesuatu ketentuan tersebut, maka kita kena menerimanya kerana qada’ yang ALLAH jadikan kepada kita berkenaan adalah bersesuaian dengan qadar kita untuk menerimanya.

Kerana apa? Kerana tidak ada sesuatu yang ALLAH jadikan pada hidup kita ini sesuatu yang kita tidak mampu menanggungnya.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud:

ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa):”Ya Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah. Ya Rabb kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Rabb kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (al-Baqarah: 286)

Sebagai contoh, dalam kehidupan ini, kadang-kadang kita tidak boleh menerima hakikat bahawa anak-anak kita tidak berjaya dalam pelajaran. Begitu juga ada orang yang tidak boleh menerima hakikat bahawa perniagaannya merudum. Tidak kurang ada yang tidak boleh menerima hakikat berlakunya kematian di kalangan ahli keluarga di saat dia sedang menyayangi insan berkenaan. Perkara ini, jika dia tidak boleh menerimanya, ia akan menjadikan dirinya rosak pada diri, rosak imannya kepada ALLAH SWT.

Kerosakan pada diri akan terjadi setelah perkara ini mengganggu pemikiran diri seseorang. Ia kemudian akan menyebabkan diri seseorang itu mengeluh. Perbuatan mengeluh inilah akhirnya menjadi bahaya kepada diri seseorang berkenaan.

BERTAUBATLAH!

Kedua, janganlah terjerumus ke dalam lembah maksiat tanpa kita bertaubat. Itu adalah perkara yang harus kita waspada.

Apabila seorang itu terjerumus pada maksiat sebenarnya di hatinya akan berlaku titik-titik hitam. Jika titik-titik hitam ini banyak, maka hati akan menjadi hitam dan ketika ini hidayah daripada ALLAH SWT tidak akan masuk ke dalam hati.

Dalam hadis Nabi SAW disebutkan yang bermaksud:

"Hati manusia itu ibarat sehelai kain putih yang apabila manusia itu berbuat dosa maka tercorenglah / ternodailah kain putih tersebut dengan satu titik noda kemudian jika sering berbuat dosa lambat-laun sehelai kain putih itu berubah menjadi kotor / hitam".

Jika hati nurani sudah kotor maka terkunci nuraninya akan sukar menerima petunjuk dari ALLAH. Oleh itu, untuk membersihkan titik-titik hitam dan kotoran yang melekat di hati adalah dengan beristighfar dan bertaubat kepada ALLAH SWT.

Manusia sentiasa terdedah kepada kesilapan dan kesalahan. Malah setiap anak Adam adalah berdosa dan tidak pernah lekang dari dosa.

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :

“Semua anak Adam berdosa, maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah orang yang bertaubat.” (Riwayat Ahmad)

ALLAH SWT. berfirman yang bermaksud,

"Sesungguhnya ALLAH amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (al-Baqarah: 222)

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :

"Sesungguhnya ALLAH membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat." (Riwayat Muslim)

Kepada umat Islam, berhati-hatilah dalam hidup kita ini agar kita jangan sesekali terjebak ke dalam lembah maksiat. Lebih malang lagi apabila kita melakukan perbuatan maksiat dan masuk ke lembahnya, kita pula tidak mahu untuk bertaubat. Sepatutnya, apabila tersedar bahawa diri telah melakukan perbuatan maksiat, kita perlulah bersegera untuk bertaubat.

Ada orang yang hidup dalam keadaan dia tak sedar yang dia telah dan sedang melakukan maksiat. Mungkin juga dia sedar, tetapi dia malas untuk bertaubat.

Ingatlah! Apabila kita terjebak dengan lembah maksiat, maksiat yang dilakukan itu akan mengganggu hidup kita.

Ingatlah! sesiapa sahaja yang terlibat dengan maksiat, apabila melakukannya, maksiat berkenaan akan mengganggu hidup seseorang berkenaan.

Maksiat akan menawarkan Iman di dada kita. Maka, ia juga akan mengganggu kehidupan kita. Rasa dan perasaan kita terhadap agama akan hilang. Contoh mudah adalah orang yang melakukan maksiat dengan mengumpat. Kalau dalam hidupnya banyak dihabiskan untuk mengumpat, hatinya akan menjadi tawar untuk berzikir. Bagaimana mungkin dia dapat berzikir sedangkan dia begitu enak untuk mengumpat perihal orang lain. Akhirnya ia akan menawarkan iman di dadanya.

Begitu juga kadang-kadang apabila terlalu sibukkan urusan dunia, ia akhirnya menyebabkan kita menjadi tawar kepada urusan akhirat. Sebagai contoh, kita sibuk menghabiskan masa di pasaraya, ia sedikit sebanyak menghakis perasaan untuk menghadirkan diri ke masjid atau tempat ibadah. Walaupun ia tidak termasuk dalam perkara maksiat, namun kelekaan terhadap dunia akhirnya menjejaskan perkara akhirat kita. Fikiran dan ingatan kita kepada urusan akhirat akhirnya akan terganggu.

Itulah bahananya apabila terlalu melebih-lebihkan urusan dunia berbanding urusan akhirat. Adakah kita tahu bahawa kesan melakukan maksiat adalah sangat dahsyat. Sebagai contoh apabila seseorang itu meminum arak tanpa bertaubat, perasaanya kepada agama akan menjadi hambar. Dia tidak lagi tertarik untuk membaca al-Quran, mendirikan solat dan sebagainya.

Akhirnya, setelah berjaya dan seronok melakukan maksiat yang pertama, dia sudah tidak kekok untuk meneruskan yang kedua dan seterusnya. Kemudiannya ia akan berjangkit dan berjangkit. Apabila ia telah menjadi jangkitan dan virus, maka ia akan merosakkan diri seseorang berkenaan.

Oleh disebabkan itu kita amat ditegah daripada terjebak ke dalam lembah maksiat. Begitu juga jangan sesekali tergolong ke dalam golongan yang terpalit dengan maksiat tanpa langsung bertaubat. Kita sering diingatkan bahawa sekiranya terjebak ke lembah maksiat, maka cepat-cepatlah memohon keampunan daripada ALLAH dengan bertaubat kepada-NYA.

Kita kena ingat, bahawa kesan maksiat cukup dahsyat seperti yang saya katakan tadi. Ia bukan sahaja menyempitkan dada kamu, bahkan merosakkan diri kamu sendiri. Tidak cukup dengan itu, ia mendatangkan masalah kepada perjalanan hidup kamu. Ada yang terumbang ambing dan ada yang tidak hadir keberkatan dalam hidupnya. Semuanya adalah hasil maksiat yang dilakukan.

Maksiat hanya mewujudkan halangan daripada datangnya keberkatan dalam hidup seseorang.

Orang yang mengambil rasuah contohnya, hidupnya tidak akan mengecapi bahagia. Ingat, harta yang diambil secara rasuah walaupun dicampur dengan harta yang halal, tetap akan menghilangkan keberkatannya. Maka, setiap yang memakan harta berkenaan tidak akan merasai keberkatannya.

Apabila dia membina rumah, rumahnya tidak menyelesakannya. Apabila dia berumah tangga, rumah tangganya mengalami berantakan. Orang yang melakukan maksiat, dia tidak akan mengalami ketenangan dalam hidupnya.

Orang yang meninggalkan solat, apakah mereka akan mendapat ketenangan hidup? Jawapannya adalah tidak sama sekali. Dia tidak pernah tenang hidupnya, kecuali hanya resah gelisah sepanjang usia. Sepatutnya, apabila kita berada dalam keadaan resah dan gelisah, kita akan membuat amal ibadah kerana amal ibadah adalah buah ketenangan kepada seseorang itu.

Bagaimana amal ibadah ini mendatangkan ketenangan?

Sebagai contoh adalah apabila memasukinya bulan ramadan. Ketenangan akan dirasai. Bahkan jadual hidup kita juga akan berubah sebaik tibanya bulan Ramadan. Nak bangun untuk sahur cukup senang. Mudah. Namun cuba bulan selain Ramadan, untuk bangun sebelum subuh cukup susah. Pukul 10 malam, berada di masjid adalah perkara biasa sepanjang bulan Ramadan. Namun di bulan lain, pukul 10 sudah berada di depan televisyen.

Begitu juga dengan berkunjung ke Mekah. Sebaik melangkah sahaja masuk ke masjidil haram, ketenangan yang tidak terhingga dirasai. Tiada lagi urusan dunia yang difikirkan. Tumpuan kita hanyalah kepada ibadah. Itulah ketenangan yang ALLAH berikan kepada kita. Kesan daripada ibadah dengan membaca al-Quran, hati yang pada mulanya ingin meraung, meronta dan sakit akhirnya menemui ketenangan yang tidak terhingga. Itulah kesan daripada melakukan ibadah. Hidup kita terasa lapang dan luas.

Namun cuba kita melakukan maksiat. Orang yang melakukan maksiat, hidupnya tidak tenang. Jika kita selami perkongsian beberapa artis yang kini telah berhijrah, suatu ketika dahulu ketika mereka asyik bernyanyi dan berhibur, ada yang membuka aurat, hidup mereka dahulu tidak tenang. Namun, kini setelah berhijrah mereka merasai ketenangan yang sukar diungkapkan.

Itu mereka, maka apatah lagi bagi kita yang telah lama dalam ibadah. Kalau orang yang baru dalam Islam merasai ketenangan, apatah lagi bagi orang yang dah lama dalam Islam. Sepatutnya bagi kita yang dah lama dengan Islam ini, semakin lama semakin naik kedudukan di sisi ALLAH SWT.

Ingatlah, janganlah sesekali melakukan maksiat. Apabila maksiat dilakukan, maka hilanglah keberkatan dalam hidup. Jika hilang keberkatan, maka dada akan jadi sempit. Setelah dada menjadi sempit, ketika itu kita seolah-olah telah hilang panduan, terasa kekosongan dalam jiwa kita. Bahkan kita seolah berasakan bahawa hidup ini sudah tiada nilai lagi.

Kita naik ke dalam kereta dan baca doa menaiki kenderaan. Namun setelah memulakan perjalanan, kita pasangkan lagu-lagu berunsur hiburan yang melalaikan, maka doa yang dibaca tadi telah bercampur dengan perkara maksiat. Hilanglah keberkatannya.

Kita mahu membuat kenduri majlis perkahwinan, kita telah menjemput ramai orang. Namun tiba-tiba kita hidangkan di majlis perkahwinan berkenaan persembahan karaoke. Habis hilang keberkatan yang telah kita bina tadi. Elok dah kita lakukan perkara yang ALLAH berkati, kemudian kita masukkan unsur maksiat, habis keberkatannya.

Bagi siapa yang membuat maksiat, hilanglah keberkatannya. Apabila telah tiada keberkatan, tiada juga rahmat-NYA. Maka rosaklah.

Contoh yang lain apabila kita menyimpan duit, bagus kerana merancang untuk simpanan. Namun yang tidak bagusnya adalah kita menyimpannya di bank konvensional. Sepatutnya kita mendapat pahala, tetapi kita pula kehilangan keberkatan kerana menyimpannya bukan di tempat yang diminta syariat.

Untuk itu, dalam mencari keredhaan ALLAH, marilah kita segera bertaubat andai kita berada di dalam kancah maksiat. Sesungguhnya orang yang segera bertaubat secara benar dan bersungguh-sungguh adalah orang yang memahami bahawa taubat itu satu kewajipan yang dituntut dalam agama serta mencerminkan keimanan yang menebal.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud :

"Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada ALLAH dengan sungguh-sungguh." (at-Tahrim: 8)

Ingatlah ALLAH SWT dengan sifat-NYA yang Maha Pengampun, membuka seluas-luasnya pintu taubat dan rahmat NYA kepada hamba-hamba-NYA yang berdosa dan ingin bertaubat. DIA sentiasa menerima taubat setiap hamba-NYA yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:

"Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, lalu memilih jalan lurus. Maka sesungguhnya ALLAH menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengampun Maha Penyayang." (al-Maidah: 39)

Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang dikasihi dan dirahmati ALLAH SWT di dunia mahupun di akhirat.

JAUHILAH PERASAAN HASAD DENGKI

Ketiga, perkara yang harus kita waspada adalah dengan menjauhkan diri kita daripada perasaan dengki sesama manusia.

"Janganlah kamu dengki mendengki. Jangan kamu putus memutus hubungan, janganlah kamu jauh menjauhi hati, janganlah kamu benci membenci; hendaklah kamu semua wahai hamba ALLAH hidup bersaudara dan haram bagi seorang Muslim itu menjadi saudaranya tidak bercakap selama tiga hari." (riwayat Bukhari, Ahmad dan Muslim)

Kita sebagai mukmin pasti tahu bahawa sifat hasad dengki, suka membalas dendam dan perasaan iri hati terhadap kurniaan seseorang yang diberikan oleh ALLAH SWT adalah sifat-sifat mazmumah.

Perasaan dengki ini adalah sifat yang banyak membawa kepada keburukan dan kemusnahan. Orang berpenyakit hasad dengki ini tidak suka melihat kejayaan orang lain berbanding dirinya, tidak kira dalam apa juga bidang. Dia pasti akan berusaha sedaya upaya untuk menjatuhkan atau menggagalkan orang yang lebih daripadanya itu. Dia akan melakukannya sehingga berjaya, sehinggalah musuhnya itu jatuh gagal dan tewas.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api yang memakan kayu.” (Riwayat Abu Dawud)

ALLAH SWT juga berfirman yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan ALLAH kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada ALLAH sebagian dari kurnia-NYA. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui segala sesuatu" (an-Nisa'; 32)

Firman-NYA lagi yang bermaksud:

"ataukah mereka dengki kepada mausia (Muhammad) kerana kurnia yang telah diberikan ALLAH kepadanya?" (an-Nisa'; 54)

Seharusnya, sifat dengki ini yang tertanam dalam diri kita ini disingkirkan sedikit demi sedikit. Latihlah diri kita ini supaya menjadi seorang yang tidak berdengki dengan sesiapa pun. Andai kita melihat sesuatu nikmat yang diperolehi orang lain, katakan pada diri bahawa “itu adalah nikmat yang diberikan kepadanya, bukannya kepada aku”. Itu adalah kurniaan yang diberikan kepadanya, bukan diri kita. Kita kena katakan kepada diri kita sendiri bahawa nikmat itu adalah kurniaan ALLAH. Alhamdulillah, sebanyak mana yang kita telah dapat sekarang ini pun adalah kurniaan ALLAH  juga.

Inilah latihan dalam hidup kita untuk menerima apa yang telah ALLAH berikan kepada setiap diri seseorang.

Kemudian buangkanlah segala penyakit suka membalas dendam. Jangan latih dalam diri kita untuk membalas segala perbuatan orang. Kalau ada orang yang membuat khianat atau aniaya kepada kita, katakanlah bahawa cukuplah hanya ALLAH yang berhak membalasnya kepada orang tersebut.

Ingatlah bahawa ALLAH adalah Maha Membalas perbuatan seseorang itu. Kita sendiri tidak padan dan tidak mampu membalas sesuatu tindakan berkenaan. Tidak akan sama balasan yang kita ambil dengan kejahatan yang dilakukan orang terhadap kita. Maka, biarlah ALLAH yang lebih layak membalasnya. Pada diri kita pula, didiklah diri untuk menjadi seorang yang pemaaf. Bukan pula menjadi seorang pendendam dalam hidup. Ini tidak, ramai di antara kita yang mengambil sikap untuk membalas dendam. Malah ia berlarutan dalam tempoh yang cukup lama. Maka cukuplah hidup dalam berdendam.

Begitu juga dengan perasaan hasad dengki tadi. Kita hanya merosakkan jiwa kita dengan berdengki terhadap nikmat yang diberikan ALLAH kepada orang lain. Hati kita pula semakin lama semakin sakit. Apabila ALLAH menambahkan lagi nikmat kepada orang berkenaan, makin bertambah sakit pula hati kita.

Ada orang yang dengkikan jiran dia. Jiran menambah bahagian rumah, kita dah mula sakit hati. Sekiranya ia cantik, kita bertambah sakit hati. Sedangkan jiran itu tadi yang membuat kerja, kita pula yang sakit hati. Padahal ikutlah kepada dia hendak berbuat macam mana sekalipun, itu adalah rumah dia.

Jika sesama jiran kita telah sakit hati, bagaimana pula dengan orang lain?

Inilah tragedi-tragedi yang menciptakan dengki berdengki sesama manusia yang akhirnya membawa kepada dendam yang tidak berkesudahan. Natijahnya, ia hanya merosakkan diri manusia itu sendiri.

Seharusnya apabila kita melihat orang lain telah diberikan nikmat, kita harus mengucapkan kesyukuran kerana kita dapat melihat kenikmatan berkenaan, itu merupakan sesuatu yang nikmat.

Ya! dapat tengok nikmat yang ALLAH berikan pada orang lain itu juga merupakan satu kenikmatan. Sebagai contoh, kita yang tidak pernah melihat istana raja. Selama ini kita hanya dapat melihat pagar istana sahaja. Sehingga terbit dalam diri kita untuk melihat bagaimana bentuk istana di dalamnya. Namun pada suatu hari kita dibenarkan untuk melihat istana berkenaan. Lalu kita berasa nikmatnya dapat melihat istana berkenaan.

Begitu jugalah apabila kita melihat orang lain menggunakan kereta baru. Kereta berkenaan adalah nikmat yang ALLAH berikan kepadanya. Namun kita sebenarnya juga perlu bersyukur kerana diberi peluang untuk melihat kereta berkenaan. Walaupun kita tidak boleh menaikinya. Biarlah kita berlapang dada.

Kalau anak kita tidak berjaya dalam peperiksaan, anak jiran pula berjaya, kita sebut juga alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada orang lain yang ALLAH berikan nikmat. Kalau kita semua dapat bersikap demikian, alangkah aman dan damailah dunia ini.

Sebagai mukmin yang dicintai ALLAH, ingatlah! janganlah kita saling dengki berdengki dengan kurniaan yang ALLAH berikan kepada seseorang. Patutkah dalam hidup, apabila kita melihat orang lain mendapat sesuatu nikmat, maka kita berdengki dengan mereka? Sedangkan nikmat yang didapatinya itu juga adalah kurniaan daripada ALLAH. Maka ikut kepada DIAlah untuk berikan kepada sesiapa pun nikmat-NYA.

Kalau ALLAH berikan kepada orang lain dan tidak berikan kepada kita, berlapang dadalah. Mungkin giliran kita akan tiba tidak lama lagi. Atau mungkin ada hikmahnya yang belum kita nampak apabila DIA masih belum mengurniakan nikmat kepada kita.

Tetapi orang kita sebaliknya pula. Apabila orang lain dapat sesuatu kenikmatan, kita berusaha melakukan apa jua cara untuk menghilangkan nikmat berkenaan. Dia mula berdengki dan melakukan khianat. Dia akan usahakan dari pelbagai cara, dan dari pelbagai sudut sama ada dari kiri, kanan, depan, atau belakang untuk hilangkan nikmat berkenaan.

Mula-mula dia ampu orang itu, dia ampu orang ini. Sekiranya pelbagai cara itu tidak berjaya, akhirnya dia pergi kepada usaha untuk membomohkan orang yang didengki berkenaan. Ini yang berlaku dalam masyarakat kita.

Kadang-kadang dia tidak berpuas hati dengan jiran atau rakan sepejabat dia sahaja. Kemudian dia akan sihir orang itu, sihir orang ini. Hidupnya dalam keadaan tidak selesa sahaja sepanjang masa.

Kita lihat anak-anak muda yang bersemangat untuk melakukan kerja. Namun sebagai orang tua, kita pula berasa dengki dengan mereka dengan mengatakan sesuatu untuk mematahkan semangat. Akhirnya mereka tidak boleh naik disebabkan kita yang sering menindas semangat dan kreativiti yang ada pada dirinya. Sedangkan kita pula sering merasakan bahawa kitalah yang terhebat.

Ingatlah sesungguhnya tiada ketenangan bagi orang yang dengki. Siapa yang hidupnya penuh dengan dengki, hilanglah ketenangan pada diri dia.

Kadang kala ada orang yang bersikap iri hati terhadap kebahagiaan dan ketenangan hidup dalam keluarga kita. Apabila kita tanyakan kepada mereka kenapa lakukan khianat kepada orang itu dan orang ini. Mereka menjawab bahawa diri mereka tidak boleh melihat kebahagiaan yang dikecapi seseorang berkenaan. Akhirnya, berlakulah khianat dan mengkhianati sesama sendiri. Puncanya adalah tiadanya ketenangan di hati orang yang berdengki dan berdendam berkenaan.

Oleh disebabkan itu para ulama ada berpesan sekiranya mendapat nikmat dan kita duduk di kawasan yang adanya nikmat, kita kena berkongsi nikmat-nikmat berkenaan. Jangan kita dapat nikmat yang menyebabkan kita tidak berkongsi nikmat itu.

Disebab itu agama ada mengajarkan kita sekiranya kita mendapat nikmat, di sana adanya zakat. Begitu juga dengan sedekah. Disarankan kepada kita untuk berkongsi segala nikmat ini supaya tidak timbulnya rasa dengki dan iri hati.

Katakanlah seseorang daripada kita ini dikurniakan oleh ALLAH suatu kelebihan seperti memperoleh anak atau cucu. Maka kita digalakkan mengadakan kenduri kesyukuran dan memanggil orang ramai di atas nikmat mendapat cahaya mata berkenaan.

Dengan adanya kenduri kesyukuran itu itu sekurang-kurangnya ia dapat menahan daripada mata-mata memandang penuh dengan dengki kerana kita mendapat cahaya mata berkenaan.

Begitu juga apabila kita diberikan sesuatu bonus. Maka belanjakanlah sedikit duit berkenaan kepada mana-mana orang yang memerlukan. Sekurang-kurangnya kita dapat kongsikan nikmat berkenaan kepada pihak yang berhak menikmatinya juga. Maka sekurang-kurangnya juga ia dapat mengelakkan daripada berlakunya sikap iri hati dan dengki orang lain kepada kita.

Ini baru nikmat yang sedikit. Bagaimana pula sekiranya ALLAH mengurniakan nikmat yang banyak kepada kita. Perlu diingat, berkongsi nikmat ini perlu demi mengelakkan timbulnya perasaan iri hati dan dengki di kalangan ramai pihak.

Begitu juga sekiranya ALLAH berikan nikmat rumah yang luas kepada kita. Maka panggillah saudara mara dan kawan-kawan untuk bertandang ke rumah. Jemputan kita berkenaan sekurang-kurangnya dapat mengelakkan daripada timbulnya rasa dengki orang lain kepada kita. Kalau kita ambil pendekatan mengunci rumah tanpa mengajak orang lain bertandang, maka lama-kelamaan ia akan menimbulkan kebencian orang lain kepada kita. Kebencian ini pula akhirnya akan membawa kepada bencana kelak.

Begitulah juga dengan sikap sesetengah pemimpin. Apabila dia membina rumah atau mahligai yang hanya ekslusif untuk dirinya sahaja, lama-lama orang akan menyampah dan bencikan dirinya. Malah orang akan melihat dirinya sebagai seorang diktator yang sukar untuk didampingi rakyat.

Begitulah yang terjadi kepada bekas pemimpin Mesir, Hosni Mubarak sebelum ini. Ketika berkuasa, dia menjadikan dirinya sebagai seorang yang begitu eksklusif. Apabila dia ingin melalui sesuatu jalan raya, maka dua buah jalan lain mesti ditutup beberapa jam sebelum dia melaluinya. Sekiranya dia ingin pergi ke mana-mana pasaraya, pusat membeli belah berkenaan mesti ditutup bagi orang lain. Hanya semata-mata dia yang hendak membeli belah di situ.

Apabila jatuhnya kepimpinan Hosni Mubarak, datanglah Dr Muhammad Morsi. Beliau telah membuka sekatan-sekatan yang selama ini telah membelenggu rakyat Mesir. Rakyat dibenarkan masuk ke istana dan dapat melihat sendiri kemegahan istana berkenaan. Maka selepas itu rakyat telah jatuh hati kepada kepimpinan yang baru dan membenci kepimpinan lama.

Jika di Malaysia, kita dapat lihat keperibadian Sultan Kelantan, Sultan Muhammad iv yang berjiwa rakyat apabila membuka pagar istana dan menjempur rakyat agar bersama-sama mendirikan qiamullail bersama-sama. Ini adalah sejarah yang dicipta apabila seorang sultan dengan rakyat bersama dalam menghidupkan ibadah.

Jika baginda datang ke masjid untuk menunaikan solat sekalipun, baginda hanya datang seorang diri tanpa mana-mana pengawal keselamatan. Bahkan baginda begitu selesa mengenakan jubah yang kita tahu juga dipakai rakyat jelata. Inilah contoh kepimpinan yang menjadi ikutan kita. Maka hilanglah kesombongan dan kedengkian orang lain ke atas diri baginda. Malah orang akan menyayangi baginda kerana kepimpinan berkenaan. Barulah kita rasakan ketenangan kerana adanya agama pada diri sultan atau pemimpin berkenaan.

Untuk itu saya menyeru kepada umat Islam semua, buangkanlah sifat hasad dengki, dendam dan iri hati dalam diri kita. Andai kita membiarkan sifat ini terus bersarang dalam diri kita, pasti kita akan menerima balasan di sisi ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT. yang bermaksud:

“Di dalam hati mereka ada beberapa penyakit, lalu ALLAH menambah penyakit itu, dan untuk mereka itu azab yang pedih kerana mereka telah berdusta.” (al-Baqarah: 10)

Umat Islam yang beriman pada ALLAH SWT pasti akan memaafkan kesalahan orang lain dan dia tidak ada perasaan dendam kerana dendam itu datangnya daripada dorongan hawa nafsu yang lahir daripada bisikan syaitan. Walaupun dia berkuasa membalas dendam tetapi pilihannya adalah memaafkan kesalahan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :

"Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

HATI MATI BILA BERPALING DARIPADA PERINGATAN ALLAH

Perkara yang terakhir yang boleh menyesakkan dada, yang boleh membuatkan hati kita berasa sedih dan perkara yang terakhir yang harus kita waspada adalah apabila kita berpaling daripada peringatan ALLAH.

Setiap peringatan ALLAH SWT adalah untuk menjadi iktibar dan pengajaran. Jika kita berpaling daripada peringatan-NYA, sudah pasti akan menyebabkan hidup kita berasa sempit, hati kita menjadi sedih, dan dada kita berasa sesak.

Seseorang itu mungkin tidak pernah melakukan maksiat. Namun dia berbuat endah tak endah atau tidak peduli kepada ketaatan atau kewajipannya. Dia mungkin tidak berzina, tidak meminum arak, tidak menipu orang atau sebagainya. Namun dalam masa yang sama dia juga tidak menunaikan solat dan sebagainya. Pada zahirnya tidak menunaikan solat tidak nampak di pandangan orang. Tetapi ia tetap merupakan maksiat.

Kadang-kala ada orang yang mempunyai perawatakan lemah lembut dan bercakap penuh sopan santun. Tetapi sayang sekali apabila aurat pula tidak ditutup. Ingatlah! Dengan tidak menutup aurat, orang ini juga sedang melakukan maksiat.

Kesemua perlakuan salah itu tadilah dipanggil sebagai berpaling daripada peringatan ALLAH. Dia tidak buat perkara yang dilarang oleh ALLAH. Namun dalam masa yang sama, dia juga tidak buat perkara yang disuruh oleh ALLAH.

Dua-dua perkara dia tidak buat baik yang dilarang mahupun yang disuruh ALLAH. Ada sesetengah yang lain pula, dua-dua perkara dia buat. Pernah ada orang menemui saya dan katakan bahawa dia melakukan dua-dua perkara berkenaan. Solat di saf yang pertama dia buat, kelab malam di saf pertama juga dia buat. Sebenarnya, dia sedang keliru dengan kehidupan dan perjalanan hidupnya sendiri.

Ketahuilah bahawa orang yang jaga perintah ALLAH, sebenarnya dia tidak pernah berasa keliru pada diri dan hidupnya. Dia tahu yang manakah yang perlu dia lakukan dan yang manakah yang perlu dia tinggalkan. Ini tidak, semuanya dia tinggalkan. Mengumpat tidak, mencuri tidak, mengadu domba tidak, solat pun tidak juga, puasa tidak. Ada pula yang solat buat, puasa buat, namun mencuri juga buat, mengumpat juga buat. Mereka yang lakukan perkara seumpama ini juga adalah mereka yang berpaling daripada peringatan ALLAH.

ALLAH berfirman di dalam surah Taaha, ayat 124 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". (Taaha: 124)

Mereka yang menerima tarbiah daripada ALLAH SWT menerusi al-Quran, maka jiwanya akan tenteram dan damai dan melahirkan keseronokan dan kebahagiaan yang sebenarnya.

Firman ALLAH SWT maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut ‘ALLAH’, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah keimanannya, dan kepada Tuhan merekalah sahaja mereka bertawakal.” (al-Anfal: 2)

Tanda hati yang hidup, ialah ia masih boleh bergetar dan teralun dengan zikrullah dan bacaan Al-Quran, ia akan bergetar untuk segala jenis kebaikan. Hati yang hidup akan terkesan apabila menerima teguran dan berasa tenang apabila menerima nasihat.

Hati yang hidup dan jiwa yang tenang akan mampu membezakan antara yang hakiki dengan yang ilusi. Ia tidak seperti pandangan mata kasar yang sifatnya selalu menipu, pandangan akal yang sifatnya boleh tersalah dan pandangan nafsu yang sifatnya selalu melulu.

Mereka yang hatinya sentiasa takut kepada ALLAH dan takut dengan azab-Nya bukan setakat tahu tetapi sedar hakikat dirinya sebagai hamba ALLAH. Hamba ALLAH tidak akan bersifat bersikap angkuh, tamak, pemarah, bangga diri dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Oleh itu tahu dan sedar adalah dua perkara yang berbeza. Tahu letaknya di akal, dengan memiliki ilmu dan maklumat. Manakala kesedaran letaknya di hati, dengan memiliki penghayatan dan hikmah.

CARILAH KETENANGAN DAN BERMUHASABAHLAH

Berjaga-jaga dan berwaspadalah kita agar tidak melakukan empat perkara ini. Damailah bersama dengan ALLAH didalam diri kita. Dalam beragama ni, kita kena berasa tenang dengan syariat. Kita kena tenang dengan syariat agama! Andai kita tidak lapang dengan syariat, maknanya kita telah hilang ketenangan dalam hidup.

Jika kita lihat al-Quran, memegangnya, membacanya dan beramal dengannya, maka kita telah mencari dan mendapat ketenangan yang sebenar-benarnya. Ingatlah, ketenangan bagi seorang hamba adalah ketika dia dekat dengan ALLAH, iaitu penciptanya.

Firman ALLAH SWT di dalam surah at-Taubah, ayat 26 yang bermaksud:

“Kemudian ALLAH menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan ALLAH menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.” (at-Taubah: 26)

Ayat ini menggambarkan betapa ALLAH itu Maha Menolong hamba-NYA dengan menurunkan ketenangan. Dalam surah al-Fath, ALLAH menceritakan kepada kita tentang kemenangan Islam.

Di saat berlakunya kesempitan ketika melakukan kerja-kerja Islam, maka ketika itulah kita perlu mendekatkan diri kita dengan ALLAH serapat-rapatnya. Maka kita akan merasai ketenangan yang diturunkan ALLAH  di dalam hati kita.

Keadaan apabila berumah tangga, kadang-kala kita berasa sempitnya dada. Perangai kita dengan suami/isteri mungkin tidak sama. Begitu juga dengan telatah anak-anak, membuatkan kita kesempitan dada. Sebagai contoh, ketika kita penat memasak di dapur, suami kita pula terbungkam di depan televisyen. Maka kita berasa sempitnya dada ini. Begitu juga dengan ibu bapa mertua. Ketika sibuk di dapur menyediakan makanan, menantu sedap-sedap pula tidur atau bersenang-senang di sofa. Sempitnya dada ini. Jadi untuk melapangkan dada, kita diminta untuk memperbanyakkan istighfar dan mendekatkan diri dengan ALLAH.

Di saat kita mula merasai sempitnya dada, fikiran berkecamuk, ketika itulah syaitan cuba untuk mempengaruhi kita untuk berputus asa, untuk melakukan kejahatan dan sebagainya. Namun, sekiranya kita segera beristigfar dan mendekatkan diri kepada ALLAH, maka kita akan cuba menahan diri kita dari dipengaruhi syaitan. Kemudian ketika itulah ALLAHmenurunkan ketenangan kepada hati dan jiwa kita.

Dan setelah kita diberikan ketenangan, maka cepat-cepatkanlah untuk bermuhasabah. Kita renung kembali, di sebalik musibah yang menimpa, pasti ada hikmahnya. Barangkali ia adalah disebabkan balasan dosa kita selama ini. Atau mungkin ia adalah ujian ALLAH untuk menguji kesabaran kita. Malah mungkin juga balasan terhadap tindakan atau perbuatan kita kepada orang lain sebelum ini. Mungkin ia adalah kesalahan kita 10 tahun yang lampau dan hari ini ALLAH balas kepada kepada kita. Tapi, biarlah ALLAH balas di dunia ini lagi dan ALLAH ampunkan kita, mudah-mudahan ALLAH tidak akan menghukum kita di akhirat kelak.

Sakinah (ketenangan), ALLAH sebut banyak kali dalam al-Quran. Dalam hidup kita ni nak sangat jadi tenang. Bawa kereta tenang, bercakap tenang dan hidup pun kita mahukan ketenangan. Tidak gelojoh dan tidak terburu-buru. Sedangkan gelojoh itu adalah perangai syaitan. Sebab itu kita diajar untuk menjadi tenang ketika dalam solat, iaitu ketika kita iktidal. Ketika kita iktidal, kita sebenarnya sedang melatih diri untuk tenang. Sesiapa yang selepas iktidal terus sujud dengan cepat-cepat, bermakna hidupnya tidak pernah tenang. Sesiapa yang berdiri dalam iktidal dengan penuh tuma’ninah, dialah yang hidupnya penuh ketenangan.

Tetapi kehidupan kita ni penuh dengan perasaan gelojoh. Baru pukul 4.00 petang waktu bekerja, tetapi dah tak sabar nak menunggu pukul 7.00 malam waktu habisnya kerja.

Ketahuilah! Ketenangan adalah kelapangan dalam hidup seseorang. Ketenangan adalah ketetapan hati kepada ALLAH atau ketenangan jiwa kerana menyerahkan segala urusan kepada ALLAH. Ketenangan itu timbul kerana kestabilan hati serta perasaan aman dan juga tenteram.

Bilakah datangnya ketenangan? Apabila kita boleh lapangkan hati kita dan apabila kita berasa aman serta tenteram.

Apabila datangnya ketenangan, kita boleh mengawal hati kita, tidak terlalu mengikutkan perasaan. Perasaan marah itu memang tersangat senang timbul dan mudah untuk kita meluahkan rasa marah itu. Tetapi kita boleh mengubahnya dengan mengawal peraaan serta bersikap sabar. Barulah ketenangan akan datang selepas itu.

Ingatlah! ketenangan hanya akan diperolehi oleh orang yang beriman. Hanya golongan ini sahaja yang layak merasai ketenangan. Orang yang tidak beriman tidak akan merasai ketenangan ini. Jika kita lihat mereka seolah tenang, sebenarnya tidak sebegitu. Bahkan mereka hanya berlakon untuk kelihatan tenang.

Mengapa mereka tidak merasai ketenangan ini?

Jawapannya adalah kerana mereka tidak mempunyai matlamat dalam hidup. Orang yang tenang adalah orang yang beriman, kerana keimanan itulah dia mempunyai matlamat dalam hidup iaitu menuju syurga ALLAH. Bagi orang beriman, apabila hadir sahaja malaikat maut untuk mencabut nyawa kita, maka kita akan tenang. Apabila keluar sahaja roh melalui mulut, kita pun tahu bahawa kita akan menghadap ALLAH, maka kita akan tenang. Kita boleh tengok lapang dan tenangnya orang yang gugur syahid di jalan ALLAH.

Ingatlah juga bahawa ketenangan hanya didapati melalui perhambaan manusia kepada TUHANnya sahaja. Malah dengan ketenangan itulah ia dapat menyelamatkan dirinya daripada kebingungan, keserabutan, was-was, kecelaruan dan sebagainya.

Untuk yang terakhirnya, marilah sama-sama kita berwaspada dan jauhi daripada empat perkara yang boleh menjadikan hidup terasa sempit, hati menjadi sedih, dan dada terasa sesak. Kembalilah kita kepada TUHAN, beriman dan bertakwa kepada-Nya dan yakinilah bahawa hanya sistem hidup Islam yang lengkap dan sempurna akan menyelamatkan kita sama ada hidup di dunia maupun di hari akhirat.

Hidup menjadi sempit
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });