Hebatnya Vitamin Al-Quran


Dato' Dr. Abdul Basit | 06-05-2020

Al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, penamat sekalian rasul, ia adalah kitab terakhir yang diturunkan, Allah telah menjamin untuk menjaganya daripada sebarang penyelewengan dan pengubahan serta menjadikannya nasikh (pembatal) semua kitab-kitab yang lain.

 

Firman Allah SWT:

 

 “Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr: 9)

 

Firman Allah SWT:

 

“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan kebenaran kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukuman di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu).” (Al-Maidah: 48)

 

Beriman dengan Al-Quran ialah mengakui kebenarannya serta mengikut semua isi kandungannya, mengakui dengan sepenuhnya bahawa ia adalah kitab Allah yang diturunkan kepada rasul-Nya SAW. Ia adalah kalam Allah yang hakiki, ianya membawa cahaya dan petunjuk, semua isi kandungannya hak, benar dan adil. Kita wajib mengikutinya dan beramal dengannya

 

Allah Taala telah mengutuskan Rasul-Nya dengan bukti-bukti yang jelas serta menurunkan kitab yang menjadi rahmat kepada alam semesta. Menjadi petunjuk kepada umat manusia untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat, juga sebagai pedoman hidup yang akan mereka lalui dan penyelesai kepada semua perkara yang menjadi perselisihan di kalangan mereka.

 

Firman Allah Taala:

 

“Dan ini sebuah kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu mengikutinya dan bertakwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.” (Al-An‘am: 155)

 

Semua hukum yang terkandung di dalam Al-Quran adalah wajib ke atas kita untuk mengikutinya. Firman Allah Taala yang bermaksud:  

 

“(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah.” (Al-A’raf: 3)

 

Sebagai manusia biasa, hidup kita tidak terlepas daripada musibah, penyakit, kesedihan, kekecewaan dan pelbagai ujian lagi. Kadang-kadang adakalanya hidup kita begitu tertekan, hati merasa sempit, fikiran kacau, dada sesak, fikiran kusut dan tiada ketenangan. Tiada lagi kawan dan saudara yang mampu menolong dan meringankan beban yang dipikul, sehingga terfikirkan yang bukan-bukan, hatta untuk menamatkan hidup di dunia ini, nauzubillah.

 

Sebagai mukmin yang baik, janganlah berputus asa dengan masalah yang menimpa diri kita. Anggaplah ia sebagai ujian, penghapus dosa yang menyucikan diri dan penambah pahala. Berusaha dan berdoalah, Allah pasti akan membantu kita untuk mendapatkan jalan keluarnya. Mungkin hati sedang sakit, jiwa kosong, ibadat merosot, tiada hubungan langsung dengan Allah, seolah kita terlalu jauh dengan Tuhan.

 

Sebelum lebih parah, carilah penawar. Penawar hidup manusia sebenarnya ada pada Al-Quran. Bacalah Al-Quran, kerana Al-Quran adalah penawar bagi hati yang sedang resah. Andai sakit, ia mampu menyembuhkan, andai keras, ia mampu melembutkan dan jika sempit, ia mampu melapangkannya insya’Allah.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan dalam Al-Quran ayat-ayat yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman…” (Al Isra’ : 82)

 

Maka jika hati sedih dan gelisah, ubatnya ada dalam Al-Quran. Jika ada penyakit dalam hati kita, ubatnya ada dalam Al-Quran. Jika kita sedang patah hati, ubatnya ada dalam Al-Quran. Jika merasakan seakan-akan dunia ini menghimpit diri, maka bacalah Al-Quran! Kerana Al-Quran adalah penawar hati dan pemberi ketenangan. Al-Quran bukan hanya sekadar ubat atau vitamin biasa, bahkan al-Quran seumpama multivitamin, super supplement, raja segala ubat kepada hati dan kehidupan orang mukmin!!

 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (An Nahl: 89)

 

Bacalah Al-Quran, kerana Al-Quran adalah ubat hati. Lazimkanlah membacanya setiap hari, merenungi maknanya, maka akan kita akan mendapat ketenteraman dan kesejukan dalam hati yang tidak dapat ditulis dengan kata-kata.

 

Kita hari ini hidup di dalam zaman fitnah dan ujian yang tidak dapat di duga dan silih berganti datangnya. Jalan keluar atau penyelesaiannya ialah dengan berpandukan kepada Kitabullah (Al-Quran) yang didalamnya terdapat kisah-kisah umat-umat terdahulu dan yang akan datang kemudian, yang boleh kita jadikan pengajaran dan panduan.

 

Ini bertepatan sekali dengan firman Allah Taala yang bermaksud:

 

“(Kisah nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah merupakan suatu cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengisahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan merupakan keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu serta menjadi hidayat petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Yusuf: 111)

 

Al-Quran juga adalah hukum (penentu), yang memberi jalan, menunjukkan batasan perbezaan antara yang hak dan batil, petunjuk bagi segala aspek kehidupan dunia dan akhirat. Maka sesiapa yang menjauhi Al-Quran kerana kesombongan dan ketidakyakinan, Allah akan menghancurkannya, dan siapa yang mencari petunjuk dari yang selainnya, Allah akan menyesatkannya. Al-Quran adalah tali Allah yang sangat kukuh, peringatan yang bijaksana dan jalan yang lurus.

 

Al-Quran ini tidak akan pernah menjemukan walaupun dibaca dan ditadabbur berulang kali. Mukjizat, kelebihan dan keajaibannya tidak terbilang.

 

Sebaimana Kata Sayyidina Ali r.a.:

 

“Sesiapa yang bercakap (berpandukan) dengannya, ia akan berkata jujur dan benar, siapa yang mengamalkannya akan diberi pahala, siapa yang berhukum dengannnya akan berlaku adil, dan siapa yang mengajak orang kepadanya maka akan ditunjuki kepada jalan yang lurus” (Riwayat At-Tirmizi – Lihat komentar Ibnu Kathir dalam Fadhail Al-Quran.)

 

Jangan sekali-kali kita menganggap Al-Quran hanya sebagai bahan bacaan semata, bahkan didalamnya kita akan dapati segala yang menakjubkan. Penawar hati, petunjuk, rahmat, penjelasan, janji pembalasan baik dan khabar gembira bagi orang yang sedang ditimpa kesedihan dan kegelisahan. Setelah membaca Al-Quran, insya’Allah kita akan menjadi lebih tenang dan lapang dada.

 

Hakikatnya Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW untuk digunakan bagi membentuk umat Islam yang bertaqwa dan berkualiti, lalu dapat membangun tamadun manusia yang berteraskan Al-Quran. Dalam masa yang sama ia juga berperanan sebagai perawat hati nurani, akhlak dan akal manusia.

 

Maka tidak syak lagi ubat dan rawatan pertama dan utama dalam mendidik hati manusia adalah Al-Quran. Inilah penyelesaian kepada permasalahan umat hari ini. Kita harus yakin dengan Al-Quran, bukan sekadar yakin membaca Al-Quran beroleh pahala, tetapi yakin bahawa peranan Al-Quran lebih daripada itu dan asas kepada segala perundangan dan panduan hidup seorang muslim.

 

Firman Allah SWT, yang bermaksud:

 

“Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Yunus: 57)

 

Firman Allah SWT lagi, yang bermaksud:

 

“Dan Kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (al-Isra: 82)

 

Allah SWT menjelaskan bahawa sesiapa yang sentiasa yakin dan positif dengan semua peringatan yang disampaikan Al-Quran dan menjadikan Al-Quran sebagai cara hidupnya, maka ia akan mampu memiliki hati yang selalu hidup, memiliki kesedaran yang tinggi. Lalu dia akan berfikir, bertindak, berinteraksi, belajar, bekerja, berakhlak, berkahwin, berkerjaya dan hidup keseluruhannya berpandukan Al-Quran, di bawah naungan hidayah Allah SWT dan akan sentiasa berada di bawah bimbingan-Nya.

 

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

 

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." (Al Anfaal: 2)

 

Tetapi hendaklah kita fahami, jika kita ingin mengubat dan membaiki hati kita, hendaklah kita yakin dan tahu bahawa berubat dengan Al-Quran itu tidak cukup hanya dengan membacanya sahaja, tetapi harus memahami, mengambil pelajaran dan iktibar, beramal dengannya dengan mematuhi hukum-hukum yang terkandung di dalamnya samada perintah atau larangan.

 

Akhirnya, marilah kita berdoa dan berusaha agar Al-Quran mampu menjadi perawat, penyembuh, peneman, penguat jiwa dan penawar hati, serta penghilang kesedihan dan kegelisahan hati kita. Juga agar kita termasuk di dalam kalangan mereka yang disebut Allah dalam firman-Nya ini:

 

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." (Ar Ra'ad: 28)

 

Amin…

 

 

Kehebatan Al Quran
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });