4 Cara terbaik menjadi sahabat sejati


Ustaz Kazim Elias | 01-05-2020

Sesiapa sahaja dalam dunia ini boleh menjadi kawan kita. Tetapi untuk memastikan orang itu adalah sahabat sejati, agak payah sedikit. Jom kita ikut pesanan Rasulullah SAW bagaimana nak memilih kawan yang baik.

Rasulullah SAW berpesan kepada kita supaya berkawan dengan orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Dah tentu ianya juga membawa kebaikan kepada diri kita. Berkawan dengan sahabat yang mendorong ke jalan Allah SWT, ke jalan kebaikan. Selalu ingatkan satu sama lain untuk solat dan bersedekah. Kan manis macam tu.

Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لاَ تُصَاحِبْ إِلاَّ مُؤْمِنًا وَلاَ يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِيٌّ

Dari Abu Sa’id dari Nabi SAW, beliau bersabda, “Janganlah engkau berteman kecuali dengan orang mukmin, dan janganlah memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa.(Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Rasulullah SAW juga berpesan supaya kita mengelakkan diri daripada berkawan dengan orang yang buruk akhlak dan perangainya. Sesungguhnya akhlak buruknya boleh mempengaruhi akhlak kita dan memudaratkan diri. Kalau kawan tu selalu pergi ke masjid, kita pun akan ikut dia ke masjid tapi kalau kawan tu kaki club, haa..terikut lah akhlaknya pergi ke club juga.

Maka carilah rakan-rakan yang mulia akhlaknya agar kita sama-sama dapat membimbing ke jalan yang benar dan lurus.

 

BAGAIMANA MAHU MENJADI JADI SAHABAT YANG BAIK?

Pertama, jadilah sahabat yang bersifat ‘Khalil’ yang membawa maksud “menyambung” atau “terus-menerus”. Khalil adalah seorang sahabat yang terus-menerus menyokong kawannya. Kedudukannya sangat rapat dan menjadikan kawan-kawan merasa selesa berteman dengannya dan bahagia selalu. Ketiadaan dirinya menjadikan diri memendam rindu dan selalu memikirkan tentangnya.

Inilah pujian sempurna dari Allah SWT kepada Nabi Ibrahim. Allah SWT berfirman:

وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا

”Dan Allah SWT menjadikan Ibrahim sebagai kekasih-Nya.” (an-Nisa:125)

 

Kedua, nak menjadi sahabat yang baik ni mudah sahaja. Sahabat harus saling menasihati antara satu sama lain. Tegurlah sahabat kita kalau kita melihat dia telah terikut-ikut dengan gejala yang tidak baik. Zaman sekarang ni semua nak ikut trend. Walaupun trend tu tak betul, masih lagi ada yang nak ikut. Contohnya, fashion pakaian sekarang. Yang dok pakai seluar kaki kecik tu. Katanya hipster. Pakai tudung tapi separuh rambut terdedah. Katanya hijabista.

Kalau nak berfesyen tu boleh tetapi mestilah mengikut syarak. Mana yang betul mana yang salah.

Maka nasihatlah kawan anda itu dengan cara yang baik dan lembut. Janganlah pula pergi menengking dia, janganlah pergi marah-marah dia. Tetapi sebaliknya tegurlah dia dengan nada yang sopan santun. Barulah kawan kita tadi tu sedar dan dengar nasihat kita.

Kalau kita marah-marah dia, tak ke nanti dia terasa hati dan akhirnya bergaduh dengan kita. Langsung apa yang kita cakap semuanya dia tidak mahu dengar. Nanti mulalah cakap: ‘macamlah dia tu baik sangat nak tegur orang macam tu.”  Haa... kan dah tak sedap telinga kita dengar.

Nasihatlah sahabat kita dengan cara yang elok dan sopan. Hati dia nak kena jaga juga. Jangan main hentam sahaja. Sahabat yang baik akan sentiasa menasihati rakannya.

Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman:

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ

”Dan tetaplah memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." (Adz-Dzariyaat: 55)

Ketiga, jadilah sahabat yang setia. Sentiasa ada disisi kawan kita tak kiralah masa dia senang ataupun susah. Banyak yang saya dengar, kawan ada masa waktu senang sahaja, waktu susah dia hilang.

Itu bukan kawan namanya.

Dia cuma hanya menumpang senang sahaja lebih-lebih lagi apabila waktu kita ada segala-galanya. Tetapi bila kita susah, nak minta tolong pada dia, dia buat bodoh je. Berbuat seperti dia tidak mengenali kita. Janganlah begitu. Sebagai sahabat, kita sepatutnya menolong dia, ada di sisi kawan kita sewaktu dia ditimpa kesusahan. Berikan dia sokongan. Kalau tidak mampu nak tolong dari segi kewangan, teman dan dengar dia bercerita pun sudah mencukupi. Janganlah buat dia berasa keseorangan. Bukannya hilangkan diri macam tu je. Kesian kawan kita.

Keempat, sahabat yang baik adalah mereka yang selalu mendoakan kebaikan kepada sahabatnya. Doakanlah mereka walaupun tanpa pengetahuan mereka.

Rasulullah SAW ada bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيْهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ. كُلَّمَا دَعَا ِلأَخِيْهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِيْنَ. وَلَكَ بِمِثْلٍ
 

“Sesungguhnya doa seorang Muslim kepada saudaranya di saat saudaranya tidak mengetahuinya adalah doa yang mustajab (termakbul). Di sisi orang yang akan mendoakan saudaranya ini ada malaikat yang bertugas meng-aminkan doanya. Tatkala dia mendoakan saudaranya dengan kebaikan, malaikat tersebut akan berkata: Aamiin. Engkau akan mendapatkan semisal dengan saudaramu tadi.” (Riwayat Muslim)

Sahabat Terbaik
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });