Kisah Ummu Sulaim, Isteri yang luar biasa


Ustaz Syed Mohd Norhisyam | 01-05-2020

Beliau seorang ibu yang hebat dan seorang isteri yang tabah. Memiliki sifat keibuan, kebijaksanaan dan berakhlak mulia. Beliau ialah Ummu Sulaim, isteri kepada Abu Talhah.

Kisah mengenai ketabahannya yang menghadapi kematian anak amat menakjubkan. Saya percaya tidak semua orang boleh menerima berita kematian dengan hati yang sabar. Ini kerana pada waktu itu iaitu zaman jahiliah terkenal dengan sifatnya yang lemah. Mereka akan menangis, meratap, menampar pipi, bahkan sehingga merobek pakaian kerana terlalu kecewa terhadap apa yang terjadi.

Hal ini tidak berlaku kepada Ummu Sulaim. Malah dia masih lagi sempat menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri ketika suaminya pulang ke rumah tanpa memberitahu yang anaknya sudah meninggal dunia.

KESABARAN, KETENANGAN DAN KETABAHAN YANG LUAR BIASA

Kisah tentang kematian anaknya begini. Pada suatu hari, anak kepada Ummu Sulaim dan Abu Talhah telah jatuh sakit. Ketika Abu Talhah keluar ke rumah untuk menjalankan tugasnya, takdir Allah SWT anaknya itu telah meninggal dunia.

Air mata Ummu Sulaim tak dapat dibendung, tetapi beliau tetap tabah meskipun hatinya sedih melihat pemergian anaknya itu. Ummu Sulaim enggan membuat suaminya berasa khuatir dan berduka. Lalu beliau berpesan kepada keluarganya supaya tidak memberitahu suaminya tentang kematian si anak kecuali dia sendiri yang mengkhabarkannya.

Lihat… betapa tenangnya seorang isteri yang bertakwa kepada Allah SWT. Dengan penuh ketabahan dan kesabaran, Ummu Sulaim sendirian menguruskan jenazah anaknya Abu Umair yang ketika itu telah terbujur kaku tanpa suami di sisi.

Setelah semuanya selesai, hari mulai gelap dan ketika itu jugalah Abu Talhah tiba di rumah. Ketika suaminya bertanyakan mengenai si anak, Ummu Sulaim hanya menjawab;

“Dia berada dalam keadaan yang sangat tenang.”

Tanpa curiga sedikit pun, Abu Thalhah menganggap bahawa putera kesayangannya itu telah sembuh dan sedang beristirahat. Manakala Ummu Sulaim pula menyiapkan makanan dan minuman untuk suaminya yang baru pulang itu. Dengan segera, si suami terus memakan hidangan yang telah disediakan untuknya.

Pada malam itu juga, Ummu Sulaim telah bersolek untuk suaminya dan menjadi wanita yang sangat cantik pada malam itu. Ummu Sulaim juga telah melayani suaminya sebaik mungkin seolah-olah malam itu adalah malam pertama buat kedua-duanya.

Selepas selesai mereka 'bersama' Ummu Sulaim bertanya kepada suaminya; “Wahai Abu Talhah, bagaimana pendapatmu mengenai suatu kaum yang dipinjamkan harta, namun ketika sang pemilik hendak mengambil hartanya kembali, kaum itu lalu enggan mengembalikannya?”

Abu Talhah pun menjawab; “Tidak sepatutnya mereka berbuat demikian, sesungguhnya pinjaman harus dikembalikan kepada pemiliknya.”

Lalu Ummu Sulaim berkata, “Begitulah yang terjadi pada kita wahai suamiku. Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan pinjaman seorang anak lelaki kepada kita, namun Dia mengambilnya kembali daripada pelukan kita.”

Khabar itu umpama petir yang menyambar kepala Abu Talhah. Rasa sedih dan marah bercampur aduk dalam hatinya lantas dia berkata; “Mengapa kamu tidak memberitahu terlebih dahulu hal ini sebelum aku menggaulimu?”

Keesokan harinya, Abu Talhah keluar dan solat bersama Nabi SAW. Selesai sahaja solat, Abu Talhah segera mendekati Baginda dan menceritakan apa yang terjadi kepada keluarganya.

Rasulullah SAW kemudiannya berdoa, “Semoga Allah memberkati kamu berdua dalam menjalani malam kamu tadi.”

Dengan izin-Nya, doa Rasulullah SAW dimakbulkan Allah SWT. Ummu Sulaim hamil dan kemudian mereka dikurniakan seorang anak dan dinamakan sebagai Abdullah bin Abi Talhah. Abdullah ini kemudiannya dikurniakan sembilan orang anak, semuanya menjadi ahli al-Quran yang hebat.

 

ALLAH SENTIASA MEMBERIKAN YANG TERBAIK

Betapa hebatnya kesabaran dan ketabahan Ummu Sulaim dengan kematian anak yang dikasihi. Berkat sabar si ibu, dan juga doa Rasulullah SAW. Allah gantikan zuriat-zuriat soleh dan bertaqwa.

Cuba renung kisah Ummu Sulaim ini, adakah kita mampu menjadi sepertinya?

Jawabnya boleh jika kita benar-benar mempunyai kekuatan iman dalam diri.

Rasulullah ada bersabda;

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

 “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya.” (Riwayat Muslim)

Itulah sikap orang yang beriman. Mereka amat menakjubkan. Musibah yang menimpa tidak membawa kepadanya putus asa dan kecewa.

Kenapa Rasulullah SAW menyebut ‘orang beriman’ dalam hadis tersebut, tetapi bukan orang yang memeluk Islam? Ini kerana hanya yang ‘beriman’ sahaja mampu menghubungkan jiwanya dengan Allah SWT demi mencapai tahap redha dengan segala keputusan-Nya. Tambahan pula, hanya yang beriman sahaja akan percaya tanpa ragu kepada janji Allah SWT.

Justeru, jadilah kita orang yang beriman. Apabila mengaitkan segala kejadian di dunia ini hasil daripada aturan dan kehendak Allah SWT, kita akan melihat semuanya daripada perspektif yang positif. Ini kerana Allah SWT tidak akan sesekali menzalimi hamba-hamba-Nya.

Menjadi orang beriman banyak kelebihan. Antaranya ialah mampu bersabar di atas ujian-ujian-Nya, menerima dengan penuh yakin bahawa ini adalah qadak dan qadar Allah SWT, menerima dengan penuh keyakinan bahawa segala apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Insya-Allah, Dia akan berikan yang terbaik dalam hidup kita.

Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan kepada kita ketabahan dan kesabaran dalam berhadapan dengan segala ujian hidup. Moga-moga Allah SWT terus memberi kekuatan kepada kita sepertimana kuatnya ketabahan dan kesabaran Ummu Sulaim. Insya Allah.  

 

 


 

 

Kisah Isteri Luar Biasa
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });