CARA KIRAAN FIDYAH YANG PERLU ANDA TAHU


Fidyah adalah bayaran denda yang dikenakan terhadap seorang individu muslim yang meninggalkan puasa Ramadan, kemudian tidak sempat menggantikan puasa sehingga masuk Ramadan berikutnya.

Dalam perkongsian yang lalu, Tzkrh telah berkongsi dengan para pembaca berkenaan siapakah yang perlu membayar fidyah serta isu fidyah yang lain.

Kadar kiraan 1 fidyah bersamaan satu cupak makanan ruji di tempat tersebut atau diganti dengan harga satu cupak (beras) yang telah ditetapkan oleh pihak majlis agama Islam atau pemerintah.

Contoh situasi:

Contohnya jika seseorang telah meninggalkan 4 hari puasa Ramadan pada tahun lepas, kemudian melengahkan masa sehingga tidak sempat qada’ puasa sehingga masuk ke Ramadan tahun ini, maka dia perlu menggantikan puasa serta membayar fidyah berdasarkan bilangan hari yang ditinggalkan.

Contoh kiraan bagi situasi di atas adalah seperti berikut:

Harga bagi satu cupak = RM 3.00

RM 3.00 (1 cupak) x 4 hari = RM 12.00

Bagaimana pula jika dia tidak membayar fidyah tersebut sehingga berlalu beberapa tahun. Adakah dia perlu menggandakan bayaran fidyah?

Dalam hal ini ulama berbeza pendapat sama ada perlu menggandakan atau tidak. Ada dua keadaan yang diputuskan.

1. Tidak Perlu Digandakan

Jika dia tidak berkemampuan, maka tidak perlu menggandakan fidyah. Walaupun telah berlalu beberapa tahun dan masih belum membayar fidyah – dia hanya perlu menggantikan puasa dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

2. Perlu Digandakan

Hal ini adalah lebih baik jika dia berkemampuan serta mempunyai kewangan yang stabil dan mencukupi. Ia juga dapat mengeluarkan seseorang daripada keraguan dan juga khilaf.

Maka jika seorang tidak membayar fidyah sehingga 3 tahun (tidak membayar fidyah sehingga telah bertemu 3 kali Ramadan), maka dia perlu menggandakan fidyah tersebut dengan cara kiraan seperti berikut:

RM 3.00 (1 cupak) x 4 hari x 3 tahun = RM36.00

Demikianlah hal-hal yang perlu difahami berkenaan bayaran fidyah dan juga cara pengiraannya.

Kini, banyak cara yang lebih mudah untuk kita mengira fidyah. Sesetengah laman web agama Islam contohnya laman web Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga telah menyediakan sistem kiraan yang cepat. Hanya perlu memasukkan maklumat seperti bilangan hari puasa yang ditinggalkan serta tahun yang telah berlalu, ia boleh terus menyemak bayaran yang perlu dibayar.

Fidyah adalah denda dan boleh menjadi hutang apabila tidak dibayar. Justeru berhati-hatilah dalam urusan ibadah yang memerlukan bayaran seumpama ini.

Kredit artikel asal: Natirah Azira  ( https://tzkrh.com/cara-kiraan-fidyah-yang-perlu-anda-tahu/ )

fidyahpuasa
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });