Covid-19: 'Kluster Kayangan' banyak bikin masalah, Ujian Allah


Mohd Azli Mohd Ali | 11-04-2020

'Kluster kayangan'. Ini adalah gambaran yang diberikan kepada mereka yang kaya yang banyak melancong ke luar negara ketika musim berlakunya wabak covid ini.  Kluster ini diminta untuk dikuarantinkan sebelum boleh pulang ke rumah masing-masing. Apa yang menjadi masalahnya terdapat banyak rungutan dari pihak kesihatan mengenai kluster ini yang sering merungut dan suka memaki hamun mereka. Sehingga ada masanya pihak kesihatan merindui mereka yang dari kluster tabligh yang merendah diri dan sentiasa mematuhi arahan.

Hakikatnya. Inilah perangai orang yang lupa diri disebabkan oleh kedudukan mereka.  

Tuan-tuan, 
Apabila cerita tentang rezeki ini, tatkala Allah SWT telah kurniakan kita rezeki yang melimpah ruah, daripada hidup susah bertukar menjadi senang, daripada duduk di dalam rumah yang buruk berpindah ke rumah yang mewah, janganlah kita lupa daratan. 

Kaya dengan wang ringgit pun satu masalah juga kerana ia merupakan salah satu ujian Allah SWT untuk kita. Allah SWT nak menguji kita sekiranya kita dikelilingi kekayaan, masih ingatkah kita kepada Dia? Atau dah lupa diri? Dah jadi sombong? Seronok dengan kekayaan dunia yang sementara sampai jadi bongkak dan bakhil. Menyombong dengan orang. Dulu masa susah selalu bersedekah, selalu tolong kawan-kawan, tapi sekarang bila dah senang, dah kaya, lupa kawan-kawan masa susah dulu. Lupa kawan-kawan yang banyak tolong kita masa kita susah dulu. 

Kekayaan semakin bertambah tetapi kita semakin terpesong dari jalan Allah SWT. Makin alpa dengan kekayaan dunia. Inilah yang kita takut terjadi pada kita apabila diuji dengan istidraj. Kita semakin lupa pada Allah SWT kerana terlalu sibuk dan telah buta dengan kekayaan dunia. Tidak solat tetapi gaji berlipat ganda, tidak tutup aurat tetapi bisnes semakin maju, derhaka pada ibu ayah tetapi duit berjuta-juta, tidak berpuasa tetapi rumah ada tiga empat, tak bayar zakat tapi kereta mewah berderet. Astagfirullahalazim... takutnya kalau kita diuji sedemikian. Nikmat yang Allah SWT beri membuatkan kita lebih sesat. Maka bertaubatlah sebelum terlambat.

Jangan bersikap sombong dan bongkak kerana berasakan bahawa kita adalah yang paling berkuasa. Apabila kita boleh membeli segala-galanya dengan wang dan harta yang kita ada. Wang ringgit bukanlah segalanya. Duit tak menjamin kebahagiaan yang sejati.

Betul... dengan duit kita boleh beli semua barang yang kita ingini. Boleh beli kereta mewah, boleh beli rumah banglo, boleh pergi bercuti sana sini. Bukannya tak boleh nak enjoy, tetapi beringatlah. Ini tidak, beli kereta sampai sepuluh tapi yang selalu pakai dua sahaja. Yang lain tu beli sebab nak menunjuk-nunjuk kepada kawan. Kan membazir namanya tu. Laburkan duit dengan bijak. Jangan boros bila berbelanja. Berbelanjalah dengan berjimat cermat. Sesungguhnya amalan membazir itu amalan syaitan.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Isra’: 
”Janganlah kamu membuang-buang belanja membazirkan harta benda dengan sia-sia, bahawa orang yang membazir pada belanjanya dan harta benda itu ialah adik beradik dengan (kenyang) syaitan, pada hal adalah syaitan itu tiada mengenang budi kepada tuhannya." (al-Isra’: 26 & 27)

Kita juga janganlah bersikap tamak. Tidak berasa puas dengan kemewahan dan kesenangan hidup yang kita ada selama ini. Sentiasa mencari jalan untuk memenuhi tuntutan nafsu kekayaan. Sehingga tanggungjawab kita sebagai manusia yang hidup di atas dunia ini kita abaikan.

Sebaliknya kongsilah rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita bersama-sama dengan orang lain. Lebih-lebih lagi dengan mereka yang tidak berkemampuan dan memerlukan pertolongan untuk meneruskan kehidupan.
Mereka juga mahu menikmati kesenangan dan kesempurnaan hidup yang sama seperti kita. Janganlah hendaknya kita memandang hina dan mengabaikan mereka yang tidak bernasib baik. Hulurkanlah bantuan dan ringankanlah tangan dengan bersedekah untuk mereka yang tidak berkeupayaan.

Kongsilah rezeki yang kita dapat bersama-sama dengan mereka. Janganlah berasa takut dan rugi kerana terlalu banyak bersedekah. Banyak kelebihan dan manfaat yang akan kita perolehi apabila banyak bersedekah. Selain daripada menjadi saham kita di akhirat dengan bersedekah juga akan mendatangkan rezeki yang murah kepada kita. Itulah janji Allah SWT.

Jika kita urus harta kekayaan dan wang ringgit kita mengikut cara yang dituntut oleh Allah SWT, tak boros, tak kedekut, tak lupa bayar zakat, selalu bersedekah, Insya-Allah... kita akan memperoleh kebahagiaan yang sejati. Hati menjadi tenang dan dada menjadi lapang. Kongsi kekayaan kita dengan orang lain. Mungkin rezeki yang kita punya ini ada bahagian orang lain juga. Jadi apa salah nya berkongsi. Malah, Allah SWT akan gandakan lagi rezeki kita kalau kita kongsi dengan orang.

Sedekah covid
ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA
googletag.cmd.push(function () { googletag.display('KMK_KaryaBestari_ROS_Interstitial-0'); });